Orang ramai diminta maklumkan polis sebelum balik kampung

Abdul Hamid Bador berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 2 minggu bukan masanya untuk rakyat bercuti.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador meminta orang ramai memaklumkan polis sebelum balik ke kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, rakyat perlu memberitahu alasan balik kampung bagi memastikan mereka berbuat demikian atas sebab penting.

“Jika rakyat melakukan perjalanan ikut kehendak mereka, maka Perintah Kawalan Pergerakan akan gagal.

“Maklumkan balai polis terdekat dan mereka akan diberikan dokumen selepas memaklumkan alasan menjelajah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, rakyat tidak dibenarkan bercuti dan ini termasuk mereka yang sudah membeli tiket penerbangan.

Katanya, mereka akan menyelaras syarat untuk individu di Lembah Klang atau negeri lain yang mahu mengambil rakan atau ahli keluarga dari lapangan terbang.

“Rakyat mungkin perlu balik kampung bagi melawat ahli keluarga sakit atau untuk alasan penting lain, tetapi ini tidak patut termasuk bercuti.

“Risiko menyebarkan virus itu adalah tinggi. Kita tidak tahu siapa yang dijangkiti dan kita mungkin mendedahkan diri kepada jangkitan dengan menjelajah.”

Katanya, ia adalah ujian mudah untuk melihat jika rakyat sedia mematuhi peraturan.

Hamid berkata, rakyat perlu tahu perintah selama 2 minggu itu bukan untuk bercuti, walaupun sekolah ditutup sehingga 31 Mac ini.

“Saya menggesa semua orang memberi kerjasama. Polis akan bekerjasama. Ia tidak mengambil masa lama untuk polis mengeluarkan dokumen perjalanan.”

Katanya, polis akan menasihatkan mereka yang meneruskan perniagaan dan berkumpul secara beramai-ramai.

Beliau berkata, mereka akan menjelaskan keperluan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sebelum tindakan drastik diambil.

“Kami tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan kepada sesiapa. Tolong faham dan patuhinya. Ini bukan perintah berkurung. Mereka boleh ke kedai runcit beli barang keperluan.”

Beliau menggesa semua pihak mematuhi peraturan kerana kerajaan mungkin melaksanakan perintah berkurung jika kes Covid-19 terus meningkat selepas 2 minggu.

Hamid turut mengingatkan rakyat tidak menyebarkan berita palsu kerana tindakan boleh diambil terhadap mereka yang mencetuskan panik.

“Ia adalah tanggungjawab kita untuk mengekang Covid-19.”

Katanya, anggota polis akan melakukan pemantauan untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam.