Perbicaraan MH17 diteruskan secara tertutup di Belanda akibat Covid-19

Empat tertuduh didakwa menembak jatuh penerbangan MH17 yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal pada 17 Julai 2014. (Gambar Reuters)

AMSTERDAM: Perbicaraan 4 lelaki yang didakwa membunuh kerana menembak jatuh pesawat MH17 akan diteruskan secara tertutup di Belanda akibat penularan Covid-19, kata mahkamah pada Selasa.

Prosiding pra-perbicaraan kes itu terhadap 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine bermula di Amsterdam minggu lalu.

Pendakwa raya mendakwa 4 defendan membantu mengatur sistem peluru berpandu digunakan untuk menembak jatuh pesawat awam itu yang membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal. Kebanyakan mangsa ialah warganegara Belanda.

Mahkamah berkata, perbicaraan seterusnya pada 23 Mac ini hanya dibuka kepada media dan waris mangsa, manakala jumlah pendakwa raya dan peguam yang dibenarkan memasuki mahkamah turut dihadkan.

Selepas itu, kes berkenaan dijadualkan bersambung pada Jun nanti.

Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 ditembak jatuh peluru berpandu anti-pesawat BUK dari kawasan konflik timur Ukraine yang dikuasai pemberontak pro-Rusia. Moscow menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu.