Pusat beli-belah dibuka untuk pasar raya dan restoran, tapi bersyarat, kata menteri

Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat tidak perlu menyimpan bekalan makanan terlalu banyak kerana kedai runcit dan pasar raya masih beroperasi.

PUTRAJAYA: Pusat beli-belah dibenarkan dibuka hanya untuk pasar raya menjual barang keperluan asas dan restoran ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sehingga akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi.

“(Premis) yang menjual barang makanan mesti diteruskan sebab rakyat perlu makanan. Kedai runcit kita tak tutup.

“Arahan sebenarnya untuk meminimakan orang pergi ke satu tempat,” katanya selepas sebuah program di kementeriannya hari ini.

Alexander berkata, restoran dan kedai makan di pusat beli-belah atau tepi jalan dibenarkan beroperasi untuk khidmat penghantaran dan bawa pulang saja.

Katanya, pelanggan dilarang makan di dalam premis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kalau restoran itu menjual ke rumah-rumah boleh, itu memudahkan nak dapatkan makanan. Kedai kopi kalau nak jual, dia hantar kepada rumau-rumah kita galakkan sebenarnya.

“Tetapi jangan buka (premis) untuk orang berkunjung ke sana.”

Katanya, pasar malam perlu ditutup bagi mengelakkan orang datang beramai-ramai.

Sebanyak 159 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan keseluruhan 553 kes di Malaysia sehingga kini.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menggesa rakyat bertenang dan bersabar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini di seluruh negara.

Alexander menggesa rakyat tidak membuat pembelian panik dan yakin bekalan barang keperluan asas di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, situasi ketika ini tidak memerlukan pembelian panik dan rakyat tidak perlu menyimpan bekalan makanan terlalu banyak kerana kedai runcit dan pasar raya masih beroperasi.

“Kita akan pastikan nanti pasar raya dan sebagainya ada bekalan dan kita memerlukan kerjasama peruncit dan pasar raya.”

Mengenai bekalan penutup hidung dan mulut, Alexander memberi jaminan bekalan barang itu mencukupi dan menggesa rakyat hanya membeli mengikut keperluan.

“Kita ke arah itu. Akan laksana. Akan umum nanti,” katanya ketika ditanya sama ada akan melarang pengeksportan penutup hidung dan mulut.

Katanya, kerajaan akan meneliti harga cecair pembasmi kuman tangan kerana ia bukan barang kawalan seperti penutup hidung dan mulut.