Putrajaya digesa benarkan kilang terus beroperasi

Persekutuan Pengilang Malaysia menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas semua syarikat swasta, kecuali perkhidmatan penting, sebagai langkah terlalu drastik.

PETALING JAYA: Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan membenarkan ahlinya meneruskan operasi mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Presiden FMM, Soh Thian Lai memberi jaminan syarikat akan mengekalkan standard kesihatan tinggi dan menggunakan khidmat kumpulan pekerja lebih kecil demi memastikan interaksi sosial minimum.

Katanya, kakitangan tidak penting dibenarkan bekerja dari rumah dan waktu kerja boleh dikurangkan, serta syarikat akan menghantar senarai pekerja diperlukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FMM merayu kerajaan mengecualikan sektor perkilangan bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan keupayaan menyokong ekonomi pada waktu mencabar ini.

“Pelaksanaan kawalan pergerakan ke atas semua syarikat swasta, kecuali perkhidmatan penting, mungkin terlalu drastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan untuk membendung Covid-19 kepada RM1 bilion, sambil menambah hospital daerah dan swasta juga perlu dilengkapi kemudahan menguruskan pesakit sekiranya hospital khusus dipenuhi pesakit.

Beliau merayu kerajaan menggandakan peruntukan pakej rangsangan ekonomi kepada RM40 bilion memandangkan keadaan bertambah buruk dan menjejaskan banyak perniagaan.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi diskaun 5% untuk tarif elektrik kepada semua premis komersial, perindustrian, sektor pertanian dan domestik, berbanding 2% yang diumumkan pada 16 Mac lalu.

Soh meminta kerajaan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar 3% dan pengecualian duti import dan jualan ke atas barang keperluan.

Beliau berkata, projek pembangunan seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) perlu dipercepatkan untuk merangsang penggunaan domestik dan akan memberi “kesan pengganda mendalam” bagi lebih 100 industri.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan kewangan bagi sektor terjejas akibat pandemik Covid-19, tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Feb lalu untuk mengurangkan kesan virus itu kepada negara.

Beliau kemudiannya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menghentikan semua aktiviti awam dan pejabat kerajaan serta premis perniagaan swasta ditutup kecuali untuk perkhidmatan penting mulai esok hingga 31 Mac ini.