Semua perbicaraan di seluruh negara ditunda akibat Covid-19

Ketua Pendaftar Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, tarikh perbicaraan baru untuk kes tertangguh di mahkamah akan dimaklumkan kemudian.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan di semua mahkamah seluruh negara digantung mulai esok sehingga 31 Mac ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pendaftar Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam surat kepada pegawai kehakiman dan perundangan berkata, tarikh perbicaraan baru untuk kes tertangguh di mahkamah akan dimaklumkan kemudian.

“Sementara itu, litigan yang mahu memfailkan tuntutan atau rayuan mereka boleh berbuat demikian menggunakan sistem eKehakiman.”

Arahan itu bermakna perbicaraan 1MDB Najib Razak yang dijadualkan bersambung pada 19 Mac ini dan juga perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya bersambung pada 23 Mac ini ditunda sehingga notis lanjut.

Terrirudin berkata, prosiding pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan dan Rayuan akan digantung sehingga tarikh baru ditetapkan.

Bagi prosiding reman, katanya, pihak berkuasa boleh memohon perintah reman daripada majistret bertugas.

“Jika pegawai penyiasat mahu mendaftarkan pertuduhan baru di mahkamah rendah, mereka perlu memaklumkan hakim Mahkamah Sesyen atau majistret terlebih dahulu supaya mahkamah boleh membuat persediaan.”