5 pihak sedang bertungkus cipta vaksin Covid-19

Seorang juruteknik bekerja di makmal Institut Vaksin Antarabangsa (IVI) di Seoul. Firma di seluruh dunia berusaha menghasilkan vaksin untuk melawan Covid-19, yang setakat ini mengorbankan lebih 6,000 orang. (Gambar AFP)

Makmal farmaseutikal dan penyelidikan di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mencari vaksin dan rawatan bagi Covid-19, menggunakan pelbagai teknologi yang berbeza.

Menurut Benjamin Neuman, pakar virologi di Texas A & M University-Texarkana, sehingga kini proses mendapatkan patogen imunisasi mengambil masa yang agak panjang.

Malah sehingga kini tidak ada vaksin yang berkesan terhadap mana-mana pesakit Covid-19.

“Banyak percubaan akan dilakukan, banyak kesilapan juga akan berlaku tetapi kami mempunyai banyak pilihan untuk dicuba,” kata Neuman.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menggesa saintisnya dan syarikat-syarikat berkaitan farmaseutikal untuk mempercepatkan proses itu, namun pakar tetap jangka ia akan mengambil masa ekoran beberapa kekangan.

Sementara itu, terbaru ujian klinikal pertama ke atas manusia untuk mencari penawar Covid-19 dilancarkan dalam beberapa hari ini dan paling lewat Jun depan.

Proses berkenaan dipercepat melalui konsep hack genetic dan berjaya melewati peringkat ujian haiwan serta diuji pada sukarelawan sihat.

Dailymail melaporkan saintis di Britain mengatakan vaksin berkenaan sudah siap dan boleh diuji pada manusia menjelang Jun selepas memperoleh keputusan menggalakkan pada tikus.

Moderna yang berpangkalan di Massachusetts mencipta kaedah baru apabila menghubungkan RNA bagi merangsang sistem kekebalan tubuh untuk menghasilkan protein sama untuk membunuh virus yang dapat mencegahnya.

Covid-19 kini membunuh hampir 5,000 mangsa di seluruh dunia dan setakat ini tiada ubat dapat menyembuhkan atau mencegah.

Prototaip vaksin dibiayai Gabungan Inovasi Kesediaan Epidemik yang juga pengasasnya Dr Melanie Saville memberitahu Telegraph, ketika ini mencari penawar lebih berkesan untuk Covid-19 dan tidak perlu membuang masa membangunkan vaksin.

“Kami tidak tahu bagaimana pandemik ini berkembang berikutan ia datang dalam pelbagai gelombang berbeza,” katanya.

Penyelidik mengandaikan Mei adalah kemuncak Covid-19 berlaku.

Sementara itu, AFP melaporkan Amerika Syarikat (AS) dan Jerman bersaing mengeluarkan vaksin eksklusif melawan Covid-19 yang dibangunkan di sebuah makmal Jerman, lapor akhbar harian Die Welt.

Menurut laporan itu, Presiden Donald Trump didakwa berusaha “memancing” saintis Jerman yang menghasilkan vaksin percubaan terbabit dan ia dilihat bertujuan mendapatkan lesen eksklusif di AS.

Sumber rapat dengan kerajaan Jerman memberitahu Die Welt vaksin terbabit “hanya untuk AS”, walaupun Berlin dilaporkan membuat tawaran sendiri kepada firma bioteknologi, CureVac yang berpangkalan di Thuringia.

Syarikat ditubuhkan pada 2000 itu memiliki tapak lain di Frankfurt dan Boston.

Firma berkenaan dipasarkan sebagai pakar dalam “membangunkan rawatan terhadap kanser, terapi berasaskan antibodi, rawatan penyakit jarang berlaku serta vaksin profilaktik”.

Ketika ini, makmal terbabit bekerjasama dengan Institut Paul-Ehrlich yang berkait dengan Kementerian Kesihatan Jerman dan berkepakaran dalam penyelidikan vaksin.

Berikut 5 syarikat yang sedang berusaha menghasilkan vaksin Covid-19:

Firma: Gilead science
Apa itu: Rawatan
Jangkaan temui hasil: Dalam tahun ini

Firma: Moderna
Apa itu: Vaksin
Jangkaan temui hasil: 12-18 bulan

Firma: Regeneron
Apa itu: Rawatan dan vaksin
Jangkaan temui hasil: Tidak diketahui

Firma: Sanofi
Apa itu: Vaksin
Jangkaan temui hasil: Tidak diketahui

Firma: Inovio Pharmaceuticals
Apa itu: Vaksin
Jangkaan temui hasil: Bekalan kecemasan menjelang akhir tahun?

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]