Ubah laungan azan seru umat Islam P Pinang solat di rumah

Masjid Kapitan Keling bersejarah di George Town, Pulau Pinang. Masjid di negeri itu akan melaungkan azan 5 kali sehari dengan sedikit perubahan untuk meminta umat Islam bersolat di rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

GEORGE TOWN: Masjid di Pulau Pinang tidak akan mengadakan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat mingguan sepanjang penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini bagi mengekang Covid-19.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ceramah agama, majlis perkahwinan dan semua acara lain turut dibatalkan seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan pendirian Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia baru-baru ini.

Katanya, laungan azan masih berkumandang 5 kali sehari dengan sedikit perubahan untuk meminta umat Islam bersolat di rumah.

“Sejajar langkah penutupan rumah ibadat, lafaz azan diubah daripada ‘hayya ‘ala al-Salah’ (marilah menunaikan solat) kepada ‘al-Salatu fi buyutikum’ (tunaikanlah solat di rumah anda),” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sama ada penggantungan itu akan dilanjutkan.

Pulau Pinang mencatatkan 19 kes setakat ini, dengan seorang pesakit pulih sepenuhnya.