Usahawan, peniaga mahu pakej rangsangan kedua

Kawasan beli-belah Bukit Bintang yang pernah sesak pelancong dan pengunjung kini lengang. Wabak Covid-19 beri kesan negatif pada ekonomi.

KUALA LUMPUR: Gabungan persatuan mewakili usahawan dan pemilik perniagaan menggesa Putrajaya sediakan pakej rangsangan kedua, susulan keputusan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan menghadapi pandemik Covid-19.

Jurucakap Shahul Dawood berkata, pakej rangsangan kedua harus menyasarkan usahawan kecil dan sederhana, usahawan bekerja sendiri, dan mereka yang diberhentikan kerja.

Putrajaya pada 27 Feb mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion bagi mengurangkan impak wabak.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan tambahan bagi mereka yang terkesan dengan pandemik, termasuk RM600 bagi pekerja yang terpaksa bercuti tanpa gaji mulai 1 Mac.

Shahul Dawood (3 dari kiri) berkata RM20 bilion mungkin tidak cukup untuk bantu PKS hadapi pandemik Covid-19.

Bagaimana, Shahul berkata RM3.5 bilion yang diperuntukkan untuk perusahaan kecil dan sederhana dan usahawan dalam pakej pertama tidak mencukupi.

“Bagi saya, RM20 bilion pun mungkin tak cukup untuk menampung atau memulihkan usahawan ke arah yang betul.

“Saya tak pasti berapa banyak kita perlukan sekarang untuk bantu ekonomi,” katanya, dan menambah perusahaan dan industri kecil dan sederhana merupakan tunjang negara

Muhyiddin juga mengumumkan kawalan ke atas semua aktiviti awam, termasuk penutupan semua premis swasta kecuali perkhidmatan asas, mulai esok hingga 31 Mac.

Selain pakej rangsangan kedua, persatuan-persatuan itu juga meminta penangguhan bayaran statutori wajib seperti caruman KWSP dan Perkeso serta bil utiliti selama 6 bulan.

Mereka juga menggesa Putrajaya memberikan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan serta insentif untuk perniagaan menggunakan teknologi digital.

Mereka juga mahu kerajaan mengetepikan cukai pelancongan dan hiburan dan menangguhkan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan projek impak rendah lain.

Cadangan-cadangan itu akan dihantar ke perdana menteri hari ini.