2 lelaki didakwa lari dari hospital negatif Covid-19

Polis berkata, 2 lelaki itu baru pulang selepas bercuti di Korea dan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru secara sukarela untuk menjalani ujian saringan Covid-19. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Dua individu yang didakwa “melarikan diri“ daripada kuarantin di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi, kembali ke hospital itu pagi tadi untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua lelaki berkenaan menjalani saringan kesihatan di hospital itu kira-kira 3 pagi tadi.

“Hasil ujian saringan berkenaan, pihak hospital mendapati kedua-dua pesakit tersebut negatif penyakit terbabit,” kata Ayob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 2 individu itu tampil di balai polis berdekatan untuk membuat laporan bagi menafikan mereka melarikan diri dari hospital.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua pesakit tersebut baru kembali ke Malaysia selepas bercuti di Korea dan disebabkan penularan Covid-19, mereka hadir (secara sukarela) ke hospital berkenaan untuk melakukan ujian saringan.

“Semasa menunggu rawatan, kedua-dua pesakit bagaimanapun telah pulang ke rumah atas sebab-sebab peribadi,” katanya.

Sejak tengah hari tadi, tular laporan polis seorang petugas hospital di Facebook mendakwa 2 pesakit yang masing-masing berusia 27 dan 6 tahun disyaki dijangkiti Covid-19 pulang (meninggalkan hospital) tanpa kebenaran doktor.