80 daripada 117 kes baru Covid-19 berkait himpunan Sri Petaling

PETALING JAYA: Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 790 orang dengan 117 kes baru dicatatkan hari ini, termasuk 80 kes berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, 15 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 11 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 60 kes pulih setakat ini.

Semalam, Malaysia mencatatkan 2 kematian Covid-19 yang pertama, membabitkan seorang pastor dari Sarawak berusia 60 tahun dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Kira-kira 16,000 jemaah, termasuk 1,500 warga asing dilaporkan menyertai perhimpunan tabligh itu.

Statistik terbaru itu menyaksikan jumlah peserta yang disahkan positif meningkat kepada 513 orang.

Di seluruh dunia, pandemik Covid-19 menyebabkan lebih 8,000 pesakit meninggal dunia dan hampir 200,000 orang dijangkiti virus itu.

Adham berkata, di bawah perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini, pelawat tidak dibenarkan memasuki wad hospital, kecuali untuk kes kecemasan atau sangat memerlukan.