Anwar bidas kenyataan bercanggah MKN kelirukan rakyat

Anwar Ibrahim menggesa Putrajaya mengumumkan pelan untuk membantu penjaja, nelayan, pekebun kecil dan golongan miskin dalam menangani beban kewangan ketika penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim membidas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat kenyataan bercanggah yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai, termasuk mahasiswa dan rakyat yang bekerja di Singapura susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan mulai hari ini.

“Kita sedang menghadapi satu bencana ibarat keadaan darurat. Maknanya kita perlu perancangan teliti perdana menteri dan menteri-menteri duduk setiap hari teliti aspek yang perlu mereka laksanakan, faham kegelisahan di bawah.

“Menteri-menteri hilang dari radar, siapa turun (ke padang untuk) fahami kegelisahan rakyat?” soalnya dalam siaran langsung di Facebooknya petang ini.

Presiden PKR itu berkata, MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri sepatutnya menjadi badan tertinggi untuk menasihatkan kerajaan berhubung keselamatan negara susulan penularan Covid-19.

Katanya, tindakan kerajaan meminta pelajar di asrama pulang ke kampung akan membawa risiko jangkitan beramai-ramai, sebaliknya kerajaan boleh menghubungi rektor universiti untuk membincangkan isu bekalan makanan.

Beliau turut menggesa kerajaan meneruskan sistem e-pembelajaran bagi mengelakkan pelajar kolej dan universiti ketinggalan jika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan selepas 31 Mac ini.

“(Mereka mungkin) tak mampu pertahankan mutu pendidikan.”

Semalam, ramai pelajar pulang ke kampung selepas MKN mengumumkan penutupan asrama. Ia kemudiannya mengumumkan asrama akan terus dibuka, tetapi ramai yang sudah pulang ke kampung dengan pengangkutan awam ketika itu.

Polis pula menarik balik arahan untuk orang ramai mengisi borang di balai polis terdekat sebelum balik ke kampung. Tindakan itu menyebabkan kesesakan serius di luar balai polis.

“Tak cukup penjelasan dan syarat baru diberikan,” kata Anwar.

“Bagaimana pula nasib ratusan ribu pekerja Malaysia di Singapura, Kementerian Pengangkutan dan Sumber Manusia nampak membisu,” katanya sambil menambah kira-kira 300,000 hingga 400,000 rakyat Malaysia merentas sempadan ke republik itu untuk bekerja.

Perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Mac melarang rakyat meninggalkan negara dan warga asing masuk ke Malaysia.

Anwar turut menggesa Putrajaya mengumumkan pelan untuk membantu penjaja, nelayan, pekebun kecil dan golongan miskin dalam menangani beban kewangan ketika penularan Covid-19 kerana premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi, kecuali perkhidmatan asas saja.

“Perkara ini perlu dirungkai dalam keadaan segera. Kalau tidak ditentukan bantuan segera, mereka melahap kelaparan.”

Beliau turut mempersoalkan keupayaan kemudahan kesihatan dalam menghadapi gelombang ke-3 Covid-19 yang mungkin melanda.

Hari ini, 117 kes baru dicatatkan yang menjadikan keseluruhannya 790 orang dijangkiti virus itu di Malaysia setakat ini.