Bedah siasat 5 mangsa kebakaran di Pengerang selesai

Mangsa terakhir kebakaran di PIC yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan rentung pada 16 Mac lepas. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Bedah siasat ke atas 5 mangsa kebakaran Unit Diesel Hydro Treating (DHT) di Kompleks Bersepadu Pengerang pada Ahad malam selesai sepenuhnya semalam.

Pemangku Ketua Polis Kota Tinggi, Nik Azaham Nik Aziz berkata semua jenazah dipindahkan dari Hospital Kota Tinggi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pagi tadi.

“‘Post mortem’ yang dijalankan pasukan forensik dari HSI diketuai Pakar Forensik Dr Rohayu Shahar Adnan berjaya mengenal pasti identiti mangsa di samping pengecaman oleh waris.

“Jenazah semua 5 mangsa diserah kepada waris untuk urusan pengebumian sebaik selesai ‘post mortem’ dan pengecaman,” kata beliau dalam kenyataan.

Dalam kejadian 10.50 malam itu, unit DHT terbakar dan meletup sehingga mengorbankan 5 nyawa serta mencederakan seorang lagi dengan 40% melecur. Seorang lagi terselamat.

Mereka yang terkorban dikenali sebagai Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor, Che Huzaidy Che Harun dan Hadi Syafiq Jamil.