Bekas timbalan menteri gesa Putrajaya kaji penutupan Talian Kasih

Hannah Yeoh berkata, Talian Kasih perlu terus beroperasi untuk memastikan talian 999 atau 112 tidak dibebani isu lain dan boleh memfokuskan isu keselamatan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan menutup Talian Kasih sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, perkhidmatan Talian Kasih wajar diteruskan untuk melindungi dan menjaga kebajikan kumpulan sasar, iaitu kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya dan mangsa keganasan rumah tangga.

“Ini juga untuk memastikan talian 999 atau 112 tidak dibebankan dengan isu lain dan boleh memberi fokus kepada isu keselamatan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan.

“Talian Kasih mesti dilihat sebagai perkhidmatan perlu kerana dalam tempoh inilah kumpulan sasar berada pada keadaan paling rentan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh mendakwa penutupan Talian Kasih tidak akan berlaku jika Majlis Keselamatan Negara dianggotai wanita dan bukannya semua lelaki.

Perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac ini dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan penting, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi.