Bilal dikehendaki pesan solat di rumah selepas azan di WP

KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lafaz “hayya ‘alassolah” (marilah menunaikan solat) akan diperlahankan bagi Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad.

Cadangan itu disampaikan kepada wakil Istana Negara bagi memaklumkan kepada Agong, Sultan Abdullah.

“Berhubung dengan azan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ia tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, antara cadangan lain berkaitan kaedah azan:

  • Azan tetap akan dikumandangkan seperti biasa kerana ia syiar Islam.
  • Setelah azan, bilal hendaklah berpesan “solatlah di rumah atau tempat kamu” dalam bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia. Ini bagi meraikan beberapa hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/208) menghukumkan sunat bagi muazzin untuk menyebut sedemikian selepas azan.

Katanya, berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri sebentar tadi, semua arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri mestilah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun begitu, isu berkaitan agama Islam diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

Berkenaan pengurusan jenazah korban Covid-19 yang beragama Islam, ia hendaklah dilaksanakan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini iaitu jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu.

Kelonggaran itu diberikan kerana ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah, katanya.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes ke-178 dan kes ke-358 atas pemergian mereka. Pemergian mereka pada hakikatnya tragedi yang memilukan buat negara,” katanya.