DUN Sarawak bersidang 1 hari pada 13 Apr

Orang ramai dan pelawat tidak dibenarkan menyaksikan persidangan DUN Sarawak bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. (Gambar Bernama)

KUCHING: Mesyuarat pertama bagi penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 akan diadakan sehari saja pada 13 Apr ini.

Setiausaha DUN Sarawak berkata, keputusan itu susulan penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

“Tiada istiadat pembukaan penggal dan majlis jamuan negeri pada hari tersebut.

“Hanya pihak media, ahli pentadbiran termasuk setiausaha politik, Adun dan ketua jabatan saja yang akan menghadiri persidangan tersebut.

“Orang awam dan pelawat tidak dibenarkan menyaksikan persidangan bagi mengurangkan risiko penularan virus itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sarawak mengesahkan 5 kes baru Covid-19, menjadikan keseluruhan 50 kes di negeri itu setakat ini.

Semalam, seorang pastor berusia 60 tahun dari Kuching, David Cheng menjadi pesakit pertama yang meninggal dunia akibat Covid-19.