Fahami gerakan tabligh melangkaui Covid-19

Ahli tabligh dari Indonesia tiba di pelabuhan Surabaya untuk menghadiri himpunan antarabangsa di Magetan di Jawa Timur pada 2004. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Dalam kalangan umat Islam, sebut sahaja Jemaah Tabligh, suatu gerakan mubaligh yang berdakwah kepada sesama orang Islam, maka akan terbayang imej seorang zahid dengan janggut panjang dan berjubah.

Stereotaip seperti itu tidak selalu tidak tepat. Mereka yang menyertai kumpulan Tabligh dilatih secara tidak sedar semasa himpunan-himpunan mereka di masjid-masjid tempatan untuk berpakaian dan berkelakuan serba serupa.

Baru-baru ini, pengikut tabligh menjadi tumpuan, dengan beberapa orang menyerang mereka dalam kumpulan media sosial selepas satu himpunan yang dihadiri puluhan ribu orang di masjid Sri Petaling dikenalpasti sebagai sumber peningkatan kes Covid-19.

Masjid itu, yang terbina atas sumbangan serta kepakaran kejuruteraan ahli-ahli jemaahnya, merupakan pangkalan utama kumpulan tabligh di negara ini di mana syarahan agama mingguan dan bulanan diadakan.

Pada masa lalu, himpunan bulanan kumpulan itu di Masjid India, Kuala Lumpur akan menarik ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Jadi, siapa golongan tabligh ini?

Penampilan luaran para ahli satu-satunya aspek Jemaah Tabligh yang kebanyakan orang luar tahu. Sejarahnya, fahamannya, dan kaedahnya jarang sekali disebut, walaupun di forum Islam, dan kewujudan mereka jarang sekali, atau tidak pernah, jadi kajian kes di universiti-universiti Islam.

Satu cubaan akademik untuk mengkaji kumpulan itu disusun dalam buku “Travelers in Faith”, terbitan penerbit akademik terkemuka Belanda, EJ Brill, sekitar 20 tahun lalu.

Ia menghimpunkan pemerhatian dan kajian beberapa saintis sosial mengenai fenomena tabligh sebagai gerakan transnasional.

Pasti ramai akan terkejut apabila mengetahui tabligh tiada struktur atau pertubuhan formal, namun dianggap kumpulan mubaligh Islam terbesar di dunia dengan pengikut di lebih 80 negara.

Tidak mengejutkan Jemaah Tabligh ini berasal dari Delhi, India, tempat kelahiran banyak gerakan pelbagai jenis, dan mempunyai jutaan pengikut di benua kecil India.

Masjid Sri Petaling, pangkalan gerakan tabligh di Malaysia, dibina sepenuhnya dengan sumbangan dan kepakaran kejuruteraan mereka sendiri.

Perhimpunan tahunan Tabligh di Pakistan, India, dan Bangladesh menarik ramai orang Islam dari seluruh dunia, bilangannya kedua terbanyak berbanding ibadat Haji.

Di tempat lain juga seperti di benua kecil itu: kumpulan perbincangan dan pertemuan tabligh diikuti dengan bersungguh-sungguh di rantau lain di dunia, berkembang secara senyap walaupun imejnya tidak gah berbanding kumpulan Islam lain.

Di kebanyakan negara Islam, gerakan tabligh menarik pelbagai jenis orang daripada penjaja kepada pelajar perubatan dan ahli perniagaan ke himpunan mingguan di masjid-masjid dan pusat-pusat Islam. Namun, ahli-ahlinya tidak mahu menonjol dan oleh itu kurang menarik perhatian masyarakat dan kontroversi.

Kira-kira 2 dekad lalu, ketua menteri Melaka ketika itu, Abdul Rahim Thamby Chik mengenakan larangan ke atas kegiatan tabligh di negeri itu, menggelarnya “menyimpang” dan “menjejaskan kesejahteraan keluarga”, terutama apabila ketua keluarga keluar berbulan-bulan untuk kegiatan tablighnya.

Umumnya dipercayai tabligh ini menjauhi politik, dengan ahli-ahlinya memberikan sepenuh perhatian kepada perkara berkaitan kepercayaan dan pembelajaran agama, dan membimbing orang Islam ke arah kehidupan peribadi yang bercorak Islam.

Dimensi kehidupan itu, menurut mereka, paling mudah dikawal. Pandangan itu mengundang tuduhan bahawa golongan ini “sufi palsu” yang lari dari kenyataan untuk mencari Tuhan demi ketenangan jiwa.

Perkara itu sebahagiannya benar, namun boleh dipertikaikan: Barangkali sifatnya yang menjauhi politik itulah hampir semua rejim Islam yang menindas penentangan di negara-negara Islam atas nama kestabilan politik membiarkan tabligh dan kegiatannya.

Malah sifat transnasionalnya tidak menjadikan ia ancaman yang besar terhadap kerajaan-kerajaan sekular seperti pergerakan Islam lain.

Tetapi menyamakan ia dengan menarik diri dari dunia dan tidak menghiraukannya adalah tidak adil.

Walaupun tidak mempunyai struktur formal, kegiatan tabligh dan kaedahnya di serata dunia hampir seragam – dari cara berpakaian kepada cara menarik lebih ramai orang menyertainya.

Modus operandi yang biasa dilakukan adlah mengundang orang ramai ke masjid untuk mendengar kuliah agama, selalunya kuliah oleh ahli tabligh “kanan” dari luar negara.

Tidak seperti gerakan lain, mereka menyasarkan orang Islam; kumpulan ini jarang berdakwah kepada orang bukan Islam. Suasana di pertemuan tabligh boleh dikatakan sama rata; ahli-ahlinya memecahkan diri kepada kumpulan-kumpulan dakwah kecil (jemaah), dan kebiasaannya saling belajar dan memberi galakan. Secara diam-diam mereka megunjungi rumah-rumah orang Islam berdekatan masjid, mengajak mereka sertai himpunan mereka.

Ciri ketara kumpulan tabligh ini adalah ahli-ahli diminta berkorban masa selain wang, pergi ke pekan-pekan, bandar-bandar, dan negara-negara.

Dalam buku yang disebutkan di atas, profesor sejarah dari Amerika Syarikat, Barbara Metcalf menulis tiada penyertaan wanita dalam persaudaraan tabligh.

Namun beliau menolak idea wanita tiada peranan dalam gerakan itu, mengatakan: “Wanita digalakkan terlibat dalam tabligh dan keluar, asalkan tidak bergaul lelaki-lelaki yang bukan muhrim”.

Seperti mana lelaki hanya patut bergaul sesama mereka, wanita juga ada jemaah tersendiri, mengadakan pertemuan dalam kumpulan dan kawasan kejiranan mereka. Malah, Metcalf menyatakan tabligh menawarkan peluang kepada wanita Asia Selatan untuk berhimpun untuk sesuatu selain majlis perkahwinan dan kematian.

Beliau menulis lelaki dalam pengembaraan tabligh mereka, sama ada kaya atau miskin, dikehendaki mencapai standard sifat rendah baru yang baru, seperti yang lelaki harapkan daripada wanita secara tradisinya. Lelaki belajar memasak, basuh pakaian dan menjaga satu sama lain; oleh itu tabligh mengalakkan pengaturan semula peranan gender.

Metcalf menerangkan: “(Tabligh) menjalankan pelbagai kegiatan yang dikaitkan dengan kerja wanita menandakan mereka menanam apa yang mungkin dikatakan nilai-nilai tegas agama tetapi juga ditakrifkan sebagai contoh unggul kewanitaan.”