Hotel disenarai perkhidmatan asas dalam perintah kawalan pergerakan

Persatuan Hotel Malaysia berkata, semua hotel akan beroperasi dengan jumlah kakitangan terhad, termasuk jabatan keselamatan dan kejuruteraan.

PETALING JAYA: Hotel dan penginapan dianggap sebahagian daripada perkhidmatan asas yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penyebaran Covid-19.

Dalam warta kerajaan persekutuan yang dikeluarkan hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata “e-dagang” antara 21 perkhidmatan asas dalam senarai itu.

Menurut warta itu, tiada orang yang dibenarkan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam “kawasan tempatan jangkitan” kecuali bagi 21 perkhidmatan asas yang disenaraikan dalam warta itu.

Satu lagi warta yang dikeluarkan pada 16 Mac lalu berkata, 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan dianggap “kawasan tempatan jangkitan”.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, semua hotel akan beroperasi dengan jumlah kakitangan terhad, termasuk jabatan keselamatan dan kejuruteraan.

Presiden MAH, Kamaruddin Baharin berkata, pengusaha hotel akan mengehadkan perkhidmatan kepada pelanggan yang mendaftar masuk sebelum 18 Mac dengan perkhidmatan makanan dan minuman dikurangkan kepada perkhidmatan bilik sahaja.

“Nasihat kami (kepada pengusaha hotel) adalah melihat isu ini pada perspektif keseluruhan dan menumpukan cara mengawal penyebaran wabak sebelum keadaan semakin teruk.

“Kita semua perlu memainkan peranan untuk menghalang orang ramai melakukan pergerakan tidak perlu pada saat seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia mencatatkan 2 kematian akibat Covid-19 dengan jumlah kes positif meningkat kepada 673 orang semalam.

Kematian pertama ialah seorang pastor di Sarawak, manakala kematian ke-2 ialah lelaki berusia 34 tahun yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu.