KDN gesa lapor individu langgar perintah kawalan pergerakan

Orang ramai dilarang makan di restoran dan kedai makan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa orang ramai melaporkan sebarang pelanggaran perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini kerana masih ada individu yang melanggar arahan dengan makan di restoran dan pergi ke taman.

“Orang ramai boleh melaporkan pelanggaran ke bilik gerakan kementerian di talian 03-88868110 dan 03-8886812 atau mana-mana balai polis terdekat,” tulis KDN di Facebook hari ini.

Terdahulu, Majlis Daerah Kuala Langat dilaporkan terpaksa menyuraikan orang ramai di sebuah pasar tani selepas kira-kira 30 peniaga membuka gerai.

Ia memberi amaran akan membuat laporan polis terhadap peniaga yang terus ingkar perintah kawalan pergerakan.

Perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac ini bertujuan membendung penularan Covid-19 dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi.

Semua restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang saja. Pelanggan dilarang makan di dalam premis itu.