Lebih 1,000 rakyat Malaysia terkandas di 18 negara

Rakyat Malaysia di luar negara berdepan kesukaran untuk pulang ke tanah air kerana seluruh dunia melaksanakan sekatan perjalanan dan pembatalan penerbangan.

PETALING JAYA: Kira-kira 1,100 rakyat Malaysia terkandas di 18 negara akibat sekatan perjalanan dan pembatalan penerbangan, menurut pemeriksaan FMT dengan sumber diplomatik.

Hampir satu pertiga daripada mereka kini berada di India, Uzbekistan dan Maghribi.

“Kebanyakan laporan mengenai rakyat Malaysia terkandas di India, Itali dan China.

“Ada ramai lagi di negara lain dan diharapkan mereka dapat pulang secepat mungkin,” kata sumber itu.

Difahamkan negara lain termasuk Mesir, Arab Saudi, Sweden, Emiriah Arab Bersatu, Sepanyol dan Australia.

Ini menyusul laporan 274 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa bandar utama India, membantah tindakan pihak berkuasa India membatalkan penerbangan mereka, satu keputusan yang dipersalahkan ke atas kerajaan Malaysia.

Tetapi, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia tidak pernah melarang rakyatnya pulang ke tanah air, mereka hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin selama 14 hari sekembalinya ke negara ini.

Syarat itu tertakluk di bawah perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Isnin lalu, ketika pihak berkuasa kesihatan berusaha membendung kes baru Covid-19 yang meragut 2 nyawa semalam.

Terdahulu, Hishammuddin dilaporkan berkata, pasukan petugas Covid-19 Wisma Putra bekerja keras untuk memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dapat pulang ke tanah air.