Malaysia Airlines gantung penerbangan ke India, Filipina

Malaysia Airlines sudah menggantung penerbangan ke Kota Kinabalu, Arab Saudi, Korea Selatan, Beijing, Shanghai dan Daxing di China.

PETALING JAYA: Malaysia Airlines menggantung semua penerbangan ke India dan Filipina susulan larangan kerajaan untuk rakyat ke luar negara.

Penerbangan ke India digantung sehingga 31 Mac ini, manakala Filipina digantung mulai 21 hingga 31 Mac ini.

“Malaysia Airlines akan mengurangkan rangkaian keseluruhannya susulan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bermula hari ini sehingga 31 Mac ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail.

Beliau berkata, Malaysia Airlines sudah menggantung penerbangan ke Kota Kinabalu, Arab Saudi, Korea Selatan, Beijing, Shanghai dan Daxing di China.

Katanya, penerbangan ke Australia dan New Zealand dikurangkan susulan dasar pengasingan diri di negara terbabit.

“Keadaan agak tidak stabil sejak 2 hari lalu kerana kita terpaksa membuat pembatalan saat akhir bagi mematuhi sekatan itu.

“Pendekatan tidak selaras ini membawa cabaran besar kepada operasi kami, tetapi kami cuba melakukan yang terbaik untuk membantu penumpang menyambung perjalanan mereka dengan syarikat penerbangan lain.”

Walaupun ini akan menyebabkan pertambahan kos kepada operasi syarikat penerbangan itu, katanya, Malaysia Airlines turut menyelaraskan penerbangan yang mempunyai jumlah kecil penumpang dengan membatal dan menggabungkannya bagi menjimatkan kos.

Malaysia Airlines sudah membatalkan lebih 4,000 penerbangan sehingga kini.

Ia berkata, pusat perhubungan globalnya paling terjejas dengan lebih 25,000 panggilan diterima setiap hari dan tambahan sehingga 2,000 e-mel.

Beliau memohon maaf kepada penumpang yang bimbang dengan tempahan mereka kerana ia memerlukan masa lebih lama untuk memproses permohonan pelanggan berikutan peningkatan mendadak panggilan dan e-mel.

Kaunter tiket Malaysia Airlines di Nu Sentral, Brickfields ditutup bermula hari ini dengan majoriti kakitangannya bekerja dari rumah.