Soalan lazim perintah kawalan pergerakan bagi sektor pengangkutan

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjawab beberapa soalan lazim berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac ini.

Darat

1. Adakah perkhidmatan jabatan/agensi di bawah MOT terjejas dengan perintah ini?

Kaunter perkhidmatan jabatan/agensi di bawah MOT seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan kekal beroperasi dalam bilangan lebih kecil bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19. Namun, perkhidmatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan ditutup sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

2. Adakah ujian memandu di institut memandu masih diteruskan atau ditunda, termasuk ujian komputer di MyEG?

Semua institut memandu akan ditutup sepenuhnya. Oleh itu, semua ujian memandu tidak akan dilaksanakan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. Semua ujian memandu di MyEG tidak dibenarkan.

3. Sekiranya Puspakom ditutup, adakah ini akan memberi kesan kepada proses permohonan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor (LPKM)?

Perkhidmatan kaunter Puspakom akan dibuka dan beroperasi seperti biasa.

4. Adakah perkhidmatan e-hailing masih boleh beroperasi?

Perkhidmatan e-hailing akan diteruskan seperti biasa.

5. Apakah jenis lori yang dibenarkan bergerak sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan?

Lori yang membawa bahan binaan dilarang sepenuhnya. Lain-lain jenis lori seperti lori membawa barang keperluan asas dan makanan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

6. Adakah Kursus Kod Amalan Bekerja Selamat di Ruang Terkurung (ICOP) Apad akan diteruskan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan?

Kursus ICOP Apad akan ditangguhkan buat sementara waktu.

7. Adakah perintah ini memberi kesan kepada operasi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter?

Perkhidmatan ETS dan Komuter akan diteruskan dengan sedikit pengurangan di waktu puncak.

8. Adakah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sektor utara masih beroperasi seperti biasa?

KTMB tidak membenarkan tren-tren State Railway of Thailand (SRT) beroperasi di stesen Padang Besar bagi mengurangkan pelancong keluar masuk. Bagaimanapun, operasi South Thai Cargo (STC) akan berjalan seperti biasa untuk penghantaran barang keperluan asas.

Maritim

1. Adakah pelabuhan di Malaysia akan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan?

Semua pelabuhan di Malaysia masih terus beroperasi kecuali pelabuhan yang mengendalikan kapal persiaran.

Udara

1. Adakah rakyat layak mendapat semula bayaran tiket penerbangan yang telah dibuat?

Segala tuntutan berkaitan tiket penerbangan perlu dirujuk dengan syarikat yang mengeluarkan tiket tersebut. Tertakluk kepada syarat tiket penerbangan, syarikat penerbangan akan mempertimbangkan 3 pilihan seperti berikut:

  • Penumpang boleh menunda penerbangan ke tarikh lain atau
  • Penumpang diberi bayaran balik dalam bentuk “credit shell/points” di mana ia boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan ke destinasi sama atau destinasi lain pada tarikh lain atau
  • Syarikat penerbangan memberikan bayaran balik sepenuhnya kos tiket penerbangan termasuk fi dan caj berkaitan.

2. Adakah penerbangan dalam negeri masih beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan?

Operasi penerbangan bagi sektor domestik dan antarabangsa akan diteruskan tertakluk kepada syarat dan sekatan perjalanan yang ditetapkan Kerajaan dari semasa ke semasa. Tiada sebarang arahan untuk larangan operasi syarikat penerbangan dikeluarkan. Larangan pergerakan hanya membabitkan urusan keluar negara bagi warganegara, dan bagi bukan warganegara adalah dibenarkan.

3. Bolehkah syarikat penerbangan awam terus beroperasi bagi membawa penumpang warganegara asing keluar dan warganegara Malaysia masuk ke Malaysia?

Operasi syarikat penerbangan negara dan asing – sama ada perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual boleh terus disediakan tertakluk kepada syarat dan sekatan perjalanan yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa. Tiada sebarang arahan untuk larangan penerbangan dikenakan.

4. Adakah syarikat penerbangan kargo disekat masuk dan keluar dari Malaysia?

Operasi syarikat penerbangan kargo negara dan asing yang melibatkan penyediaan perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual kargo, masuk dan keluar dari Malaysia dibenarkan.

5. Adakah operasi syarikat penerbangan jet peribadi (non-revenue private flight/business flight) – sama ada kemasukan warganegara asing dan pengeluaran warganegara Malaysia dibenarkan bagi operasi penerbangan ini?

Operasi syarikat penerbangan jet peribadi boleh diteruskan. Bagaimanapun, kemasukan warganegara asing dan perjalanan keluar warganegara Malaysia tertakluk kepada syarat sekatan kemasukan warganegara asing dan syarat yang ditetapkan perintah kawalan pergerakan.