Talian Kasih diteruskan seperti biasa, kata menteri

Rina Harun berkata, kerajaan bersetuju membuka Talian Kasih seperti biasa untuk menerima aduan berkaitan wanita, kanak-kanak, OKU dan warga emas.

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menarik balik penggantungan Talian Kasih sepanjang perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu susulan kritikan dan rayuan bekas timbalan menteri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, kerajaan bersetuju membuka Talian Kasih yang diselaraskan kementeriannya untuk menerima aduan berkaitan wanita, kanak-kanak, orang kelainan upaya dan warga emas.

“Talian Kasih bernombor 15999 dan talian Whatsapp 019 2615999 akan terus beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata, Majlis Keselamatan Negara menyelaras talian khusus 03-88882010 untuk pertanyaan dan aduan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan susulan penularan Covid-19.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan menutup Talian Kasih sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, ia dapat memastikan talian 999 atau 112 tidak dibebankan isu lain dan boleh memfokuskan isu keselamatan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, Talian Kasih perlu dilihat sebagai perkhidmatan perlu kerana dalam tempoh inilah kumpulan sasar berada pada keadaan paling rentan.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said turut membidas penggantungan Talian Kasih dan menggesa kementerian itu bekerjasama dengan polis untuk mencari penyelesaian segera.