1,500 penganut Katolik Indonesia terus upacara mass walaupun diminta dibatal

Perarakan di luar Gereja Ruteng, Manggarai sempena upacara mass pentauliahan uskup baru Siprianus Hormat hari ini. (Gambar video Kompas)

PETALING JAYA: Kira-kira 1,500 penganut Katotik hari ini menghadiri upacara mass sempena pentauliahan seorang uskup baru di daerah Manggarai Indonesia walaupun himpunan ramai ditegah berikutan kebimbangan berhubung penularan wabak Covid-19, lapor Jakarta Post.

Ketua daerah Manggarai bagaimanapun mempertahankan keputusan membenarkan acara itu dengan berkata, hadirin disaring, suhu badan mereka diperiksa dan pensanitasi tangan disediakan sebelum mereka memasuki bangunan.

“Pelawat yang hadir hanya mewakili 1% daripada penduduk Manggarai Raya. Pentadbiran daerah Manggarai dan penganjur mematuhi protokol yang ditetapkan oleh kerajaan pusat,” katanya seperti dipetik oleh Jakarta Post.

Beliau berkata, acara itu telah dirancang beberapa bulan terdahulu.

Siprianus Hormat dinamakan sebagai uskup baru bagi Ruteng di Manggarai, sebuah daerah di wilayah Nusa Tenggara Timur di kepulauan Flores di Indonesia.

Ketua pasukan tindak balas Covid-19 negara itu Doni Monardo sebelum itu meminta daerah keuskupan Ruteng menangguhkan upacara mass pentauliahan itu.

“Kami merayu anda supaya menangguhkan acara ini atas nama kemanusiaan,” katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada kardinal seperti dipetik oleh Kompas.com.

Perhimpunan gereja itu diadakan selepas pihak berkuasa di Sulawesi melarang satu perhimpunan besar jemaah tabligh yang menyaksikan kehadiran lebih 9,000 orang dari seluruh dunia.

Penganjur membatalkan acara itu selepas diminta berbuat demikian oleh gabenor.

Indonesia hari ini mencatatkan lebih 25 kematian akibat Covid-19, dengan jumlah jangkitan sebanyak 309 kes.

Terdahulu minggu ini, Presiden Joko Widodo mengaku kerajaan pimpinannya tidak bersikap telus berhubung jumlah jangkitan virus tersebut di Indonesia.