Aktivis di India ditahan anjur parti minum air kencing lembu

Pengkritik menolak dakwaan minum air kencing sebagai kaedah perubatan palsu untuk menghindari Covid-19. (Gambar AP)

KOLKATA: Seorang aktivis parti pemerintah India ditahan selepas seorang sukarelawan jatuh sakit kerana meminum air kencing lembu di sebuah parti untuk memerangi Covid-19, kata polis pada Rabu ketika ramai berminat terhadap kaedah rawatan di rumah untuk pandemik itu.

Narayan Chatterjee yang merupakan aktivis Parti Bharatiya Janata ditahan oleh polis Bengal Barat pada lewat malam Selasa atas “penganjuran acara minum air kencing lembu dan memaksa seorang sukarelawan sivik minum air kencing lembu,” kata Ketua Polis Kolkata, Anuj Sharma kepada AFP.

“Sukarelawan sivik itu jatuh sakit pada Selasa dan membuat aduan kepada polis. Aktivis BJP itu ditahan pada Selasa malam.”

Presiden BJP cawangan Bengal Barat menyifatkan penahanan Chatterjee sebagai “malang”.

“India ialah negara demokratik. Setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka,” kata Dilip Ghosh.

“Adalah malang Chatterjee ditahan kerana menyuarakan pandangannya dengan menganjurkan acara itu. Kita tidak tahu jika sukarelawan sivik itu dipaksa minum air kencing lembu.”

Ramai dalam kalangan 1.3 bilion penduduk negara majoriti penganut Hindu itu menganggap lembu suci dan percaya dengan meminum air kencing lembu ialah penawar untuk semua jenis penyakit, daripada artritis dan asma kepada kanser dan kencing manis.

Minggu lalu, berpuluh aktivis Hindu mengadakan sebuah parti air kencing lembu di ibu negara New Delhi di mana mereka mengadakan ritual api dan minum air kencing daripada cawan tanah liat untuk memerangi Covid-19.

Pengkritik menolak dakwaan air kencing sebagai kaedah perubatan palsu.

Seorang peniaga susu di negeri sama turut ditahan pada Selasa kerana menjual air kencing dan tahi lembu serta mendakwa ia “dapat mengelakkan jangkitan koronavirus”,” kata pegawai polis kanan dari daerah Hooghly, Humayan Kabir kepada AFP.

Katanya, peniaga itu, Sheikh Masud, menjual air kencing lembu pada harga 500 rupee seliter dan tahi lembu 400 rupee 1kg.

Masud, menggantung satu poster di kedainya yang berbunyi “Minum air kencing lembu untuk hindari koronavirus” memberitahu polis, beliau mendapat inspirasi menjual air kencing selepas mendapat tahu penganjuran parti itu di New Delhi.

AFP cuba mendapatkan komen Kementerian Kesihatan sama ada tahi dan air kencing lembu berkesan untuk merawat Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia di India turut dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan air kencing dan tahi lembu itu.

Semalam, 151 kes positif dan 3 kematian akibat Covid-19 dicatatkan di India, negara ke-2 paling ramai penduduk di dunia, iaitu 1.3 bilion orang.

Kebanyakan sekolah, pusat hiburan di India termasuk pawagam dan Taj Mahal ditutup dalam usaha menghentikan penularan virus itu.