Bantu peniaga kecil, pekerja sambilan hadapi krisis Covid-19, kata badan pemikir

Banyak perniaga kecil dan pekerja sambilan terkesan oleh krisis Covid-19.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenal pasti bidang dan pekerjaan yang terpaksa “berhibernasi” susulan krisis Covid-19 bagi membolehkan bantuan yang mencukupi diberikan kepada mereka.

Pengarah Institut Demokrasi dan Hak Ehwal Ekonomi (Ideas) Laurence Todd berkata, terdapat peniaga kecil kendiri dan pekerja sambilan yang hilang sementara sumber pendapatan mereka dan tidak mempunyai wang simpanan.

“Sesetengah perniagaan mungkin boleh beroperasi secara terpencil atau diberikan kebenaran untuk meneruskannya, tetapi perniagaan lain terpaksa memasuki tempoh kurang aktiviti.

“Kerajaan perlu mengenal pasti kumpulan ini dan menyediakan pilihan,” katanya kepada FMT dengan menambah bahawa kerajaan perlu mengambil langkah bagi memastikan mereka yang terkesan tidak terdorong kepada tahap kesukaran yang serius.

Beliau berkata, perlindungan keselamatan sosial diperlukan bagi mereka yang bekerja secara sambilan atau kontrak kerana mereka tidak mempunyai aliran pendapatan yang berterusan pada tempoh kurang aktiviti.

“Sesetengah orang mungkin tidak boleh bekerja dari rumah,” katanya, selain menambah bahawa perhatian perlu diberikan kepada golongan ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai wang simpanan, dan langkah perlu diambil bagi menghalang mereka daripada menambah hutang.

Katanya, kerajaan perlu mencari jalan supaya kumpulan ini mendapat akses kepada bantuan kerajaan, selain memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.

Todd berkata, kerajaan perlu mencari jalan bagi membantu syarikat perniagaan dalam tempoh ini.

“Pengurangan aktiviti (perniagaan) adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya, selain menambah bahawa pembayaran cukai patut ditangguhkan bagi menambah aliran tunai dalam kalangan rakyat.

“Sesetengah aktiviti mungkin memasuki tempoh “hibernasi” dan akan pulih pada masa akan datang,” katanya, dan justeru itu agensi kerajaan perlu mengenal pastinya dengan serta-merta.

Selain sektor runcit dan perniagaan yang bergantung pada hubungan individu katanya, terdapat banyak perniagaan lain yang turut menerima kesan.

Beliau mengalu-alukan langkah kerajaan menyemak semula pakej rangsangan ekonomi dengan memberi gaji RM600 sebulan untuk tempoh maksimum 6 bulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Saya mengalu-alukan fokus kepada perlindungan sosial, tetapi kita perlu memahami titik tekanan dan dinamika yang berubah-ubah, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan.

“(Kerajaan) perlu terus aktif. Ia mungkin perlu menambah langkah baru sesuai dengan perkembangan yang berlaku,” katanya.

Justeru itu katanya, data tepat diperlukan bagi memastikan kerajaan boleh bertindak-balas terhadap perkembangan yang berlaku sewaktu seluruh negara melalui tempoh perintah kawalan pergerakan (MCO) sejak 18 hingga 31 Mac dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, hutang isi rumah Malaysia kini mencecah angka RM1.1 trilion dan kerajaan perlu memastikan isi rumah tidak membuat lebih banyak pinjaman bagi menampung hidup sepanjang tempoh pandemik sekarang.

“Kerajaan perlukan data tepat untuk berikan bantuan yang sesuai,” katanya.