Bebaskan suspek jenayah kecil elak tular Covid-19, kata badan peguam

Usaha menangani wabak Covid-19 mungkin gagal jika suspek ditahan di penjara sementara menunggu untuk didakwa atau sudah didakwa tetapi gagal bayar ikat jamin, kata Presiden Badan Peguam Salim Bashir.

PETALING JAYA: Presiden Badan Peguam, Salim Bashir meminta suspek jenayah kecil dilepaskan dengan jaminan polis ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 mungkin gagal jika suspek ditahan di penjara sementara menunggu untuk didakwa atau sudah didakwa tetapi gagal bayar ikat jamin.

“Penjarakkan sosial hanya dapat direalisasikan apabila tiada seorang pun ditahan atas jenayah kecil atau ringan sehingga tempoh pembendungan wabak berakhir,” katanya.

Salim berkata, suspek boleh diminta tampil apabila pendakwa raya bersedia untuk menjalankan pendakwaan ke atas mereka.

Ikat jamin adalah pembebasan sementara daripada tahanan selepas penangkapan dan soal siasat polis.

Jika dakwaan ke atas suspek tidak dilaksana serta-merta, polis boleh membebaskannya dengan jaminan, dengan atau tanpa syarat.

Jaminan polis tidak boleh diberikan kepada warga asing dan suspek yang didakwa dalam jenayah berat.

Namun, menurut Salim, pengecualian boleh diberikan kepada suspek yang sakit, dalam keadaan lemah, kanak-kanak dan wanita walaupun mereka didakwa dalam kes bunuh.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, pada Selasa berkata semua prosiding kes mahkamah di seluruh negara ditangguh sehingga 31 Mac, selepas perintah kawalan pergerakan berakhir.