Duduk di rumah, jangan keluar beriadah, kata KP Kesihatan

Seorang wanita duduk di sebuah gelanggang bola keranjang di USJ11, Subang Jaya sambil memerhati seorang kanak-kanak bermain basikal.

SUBANG JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menggesa orang ramai tidak keluar beriadah atau bersukan.

Ketika dihubungi, beliau memberitahu FMT bahawa mesejnya mudah dan jelas iaitu orang ramai hendaklah berada di rumah masing-masing sejauh yang mungkin sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (MCO) selama 2 minggu hingga 31 Mac ini.

Dalam pada itu, pemeriksaan oleh FMT di sekitar Subang Jaya mendapati kebanyakan taman awam lengang, selain beberapa pengguna.

Kebanyakan penduduk berkata, mereka tidak maklum bahawa aktiviti riadah di luar rumah juga tidak digalakkan dalam tempoh MCO, selain menambah kehadiran beberapa pengguna menampakkan seolah-olah aktiviti itu selamat.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, beliau sedar bahawa kegiatan beriadah di luar rumah tidak digalakkan, tetapi ia kelihatan selamat.

“Saya hanya berlari di kawasan sekeliling. Saya berseorangan dan tidak menghampiri orang lain. Lagipun ia bukan penyakit bawaan udara, ia berjangkit melalui sentuhan,” katanya kepada FMT.

Sukdev, yang bersiar-siar bersama anak perempuannya berkata, beliau fikir tiada masalah berjalan-jalan di luar rumah kerana tiada kontak dengan orang lain.

Aden, seorang penduduk muda yang bermain bola keranjang percaya kegiatan riadah OK asalkan ia tidak melibatkan ramai orang.