Elakkan ambil ibuprofen sebagai ubat jika ada gejala Covid-19

Ubat ibuprofen didakwa akan menyebabkan radang akibat jangkitan Covid-19 menjadi lebih teruk. (Gambar AP)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan untuk tidak menggunakan ubat ibuprofen sebagai rawatan jika ada tanda-tanda dijangkiti Covid-19.

Amaran ini dikeluarkan selepas Kerajaan Perancis mendapati ubat anti radang ini boleh memburukkan lagi kesan virus.

Amaran oleh Menteri Kesihatan Perancis Olivier Veran berdasarkan satu kajian baru-baru ini dalam jurnal perubatan The Lancet yang menegaskan bahawa enzim yang dirangsang oleh ubat-ubatan anti-radang seperti ibuprofen dapat memudahkan dan memburukkan jangkitan Covid-19.

Jurucakap WHO, Christian Lindmeier memberitahu, pakar-pakar agensi kesihatan sedang “meneliti untuk memberikan panduan lanjut.

“Sementara itu, kami mengesyorkan menggunakan paracetamol, dan jangan gunakan ibuprofen sebagai ubat-ubatan sendiri. Itu lebih penting,” katanya.

Beliau menambah jika doktor yang merawat dan meletak ibuprofen sebagai salah satu ubat yang perlu diambil maka sudah tentu ia terpulang kepada mereka.

“Pada masa ini, kami mengesyorkan menggunakan paracetamol dan tidak menggunakan ibuprofen untuk ubat-ubatan sendiri. Itu penting,” kata Lindmeier.

Sebagai contoh, jika terdapat demam yang merupakan salah satu gejala Covid-19, hanya gunakan paracetamol, bukan ibuprofen.

Bagaimanapun, paracetamol mesti diambil dengan dos yang betul, kerana jika terlalu banyak boleh merosakkan fungsi hati.

Sebelum Covid-19 diisytiharkan pandemik oleh WHO, Kerajaan Perancis telah mengeluarkan amaran komplikasi yang serius disebabkan oleh penggunaan ibuprofen yang dijual di bawah pelbagai jenama.

Jurucakap salah sebuah syarikat farmaseutikal British yang mengeluarkan ibuprofen di bawah jenama Nurofen, Reckitt Benckiser berkata menyedari kebimbangan yang timbul daripada penggunaan steroid dan produk anti-radang bukan steroid termasuk ibuproven untuk menangani gejala Covid-19.

Bagaimanapun setakat ini, tiada bukti saintifik bahawa penggunaan ibuprofen telah meningkatkan jumlah kes Covid-19 di dunia.

Benckiser berkata beliau akan mengeluarkan maklumat dan panduan tambahan seperti yang diperlukan mengenai penggunaan produk, selepas mengetahui hasil penemuannya nanti.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]