Himpunan tabligh di Indonesia dibatal kerana bimbang penularan Covid-19

Peserta asing menuju ke Indonesia untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran tabligh melalui transit di KLIA pada 17 Mac lalu. (Gambar Facebook)

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menghentikan satu perhimpunan tabligh yang menarik penyertaan ribuan jemaah ke negara itu, susulan kebimbangan terhadap penularan Covid-19, kata seorang pegawai.

Pihak berkuasa cuba memujuk Ijtima Asia, sebahagian daripada gerakan dakwah Islam Jemaah Tabligh global, selama beberapa hari untuk menghentikan perhimpunan itu di Gowa, dekat kota Makkar di wilayah Sulawesi Selatan, selepas program sama di Malaysia menyebabkan ratusan orang dijangkiti Covid-19.

“Alhamdulillah, Ijtima akhirnya setuju untuk tangguh/batal,” kata Ketua Daerah Gowa, Adnan Purichta Ichsan di media sosial.

Katanya, peserta yang sudah berada di lokasi perhimpunan akan diasingkan sementara menunggu persiapan untuk mereka meninggalkan Gowa.

Lebih 8,500 jemaah dari seluruh Indonesia, Asia dan Timur Tengah berhimpun di bandar itu.

Reuters tidak dapat menghubungi penganjur untuk mendapatkan komen mereka.

Gerakan Jemaah Tabligh di sebalik perhimpunan di Indonesia itu menganjurkan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling dari 27 Feb hingga 1 Mac yang disertai kira-kira 16,000 jemaah dan menyebabkan lebih 500 peserta dijangkiti virus Covid-19.

Gambar dan rakaman video perhimpunan di Indonesia itu yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan ramai lelaki duduk bersama dalam sebuah khemah besar.