Indonesia larang kemasukan pelawat asing, rakyat keluar negara bermula esok

Pelawat warga asing yang akan berkunjung ke Indonesia diwajibkan mempunyai visa daripada perwakilan Indonesia di negara masing-masing dengan menyatakan maksud dan tujuan lawatan. (Gambar AP)

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengambil langkah tambahan membendung penularan wabak Covid-19 dengan menutup kemasukan pelawat asing ke negara itu dan menghalang rakyatnya keluar negara untuk tempoh sebulan berkuat kuasa esok.

Menteri Luar, Retno Marsudi dalam kenyataan hari ini berkata, visa bebas kunjungan (BVK), visa ketibaan (VOA) dan visa bebas diplomatik/perkhidmatan untuk warga asing ditangguhkan selama sebulan.

Susulan langkah tambahan tersebut beliau berkata, pelawat warga asing yang akan berkunjung ke Indonesia diwajibkan mempunyai visa dari perwakilan Indonesia di negara masing-masing dengan menyatakan maksud dan tujuan lawatan tersebut.

Selain itu katanya, semasa memohon visa, mereka perlu melampirkan sijil kesihatan oleh pihak berkuasa kesihatan di negara masing-masing.

Retno berkata, peraturan itu akan dikaji semula mengikut kesesuaian dan perkembangan semasa.