Kakitangan Hospital Tuanku Fauziah Perlis positif Covid-19, kata KP Kesihatan

Menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Malaysia mencatatkan 100 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit setakat ini 900 orang.

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan bahawa terdapat seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hisham berkata, kakitangan itu mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan tiba di tanah air pada 8 Mac.

“Beliau dimasukkan ke wad pada 16 Mac 2020 kerana disyaki menghidap jangkitan paru-paru (pneumonia) dan dehidrasi. Ujian makmal di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati beliau positif Covid-19 pada 18 Mac 2020.

“Berikutan itu, pihak hospital mengenal pasti kontak dekat pesakit dan menjalankan saringan Covid-19 terhadap mereka serta ahli keluarga terdekat pegawai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hisham berkata, langkah pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan berkaitan juga dilakukan.

Beliau berkata, bagi memastikan perkhidmatan kepada orang ramai tidak terjejas, HTF telah mengambil beberapa langkah mitigasi.

“Misalnya menyemak semula jadual klinik susulan, mengemas kini prosedur kemasukan wad dengan memberi keutamaan kepada kes yang perlukan rawatan segera dan beberapa langkah lain.

“Kerjasama dengan klinik kesihatan dan hospital lain yang berdekatan juga dikenal pasti bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan tidak terjejas,” katanya.

Hisham berkata, semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana HTF telah mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang perlu.

“Masyarakat juga disarankan mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Malaysia mencatatkan 100 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit setakat ini 900 orang, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada satu sidang media di Putrajaya.

Katanya, 63 daripada kes terbaru yang dicatatkan mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur awal bulan ini.

Adham berkata, 20 pesakit kini ditempatkan di wad rawatan intensif (ICU).

Katanya, 15 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan kesemuanya 75 kes pulih setakat ini.