Kementerian gesa pekerja dalam sektor tak tersenarai lapor polis jika dipaksa bekerja

Kerajaan berkata, syarikat dalam sektor tidak tersenarai tidak boleh memaksa pekerja datang bekerja, mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji dalam tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pekerja dalam sektor perniagaan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya mereka dipaksa hadir ke tempat kerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula semalam hingga 31 Mac ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, laporan boleh dibuat di balai polis berdekatan sekiranya majikan masih beroperasi dan mengarahkan pekerja hadir bekerja dalam tempoh itu.

KSM berkata, majikan dituntut membayar gaji pekerja secara penuh sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Bagaimanapun katanya, bagi pekerja harian, gaji mereka perlu dibayar mengikut kadar upah yang dipersetujui antara pekerja dan majikan berdasarkan surat tawaran atau kontrak masing-masing.

“Untuk pekerja yang tiada pendapatan tetap, kadar gaji hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” kata KSM dalam dokumen Soalan Lazim KSM mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu sehingga 31 Mac ini bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Perkembangan itu menyebabkan pekerja awam dan swasta dinasihatkan bekerja dari rumah sehingga tempoh itu berakhir.

Mengulas lanjut, KSM berkata, jika majikan enggan membayar gaji pekerja sepanjang tempoh dari 18 hingga 31 Mac, maka mereka diminta mengemukakan aduan secara atas talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) supaya tindakan lanjut boleh diambil.