Keputusan ujian hampir 2,000 jemaah tabligh belum siap

Seramai 10,553 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu sudah dikesan dan diperiksa, dengan 6,627 daripadanya diarahkan menjalani pemantauan di rumah setakat tengah malam semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak berkuasa masih menunggu ujian saringan Covid-19 untuk 1,990 jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Katanya, seramai 10,553 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan itu sudah dikesan dan diperiksa, dengan 6,627 daripadanya diarahkan menjalani pemantauan di rumah setakat tengah malam semalam.

Sabah merekodkan pesakit positif paling ramai dalam kluster Masjid Sri Petaling dengan 91 kes, disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 75 kes.

Sampel 4,986 peserta sudah diambil, dengan 513 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 2,559 lagi negatif.

Ia menganggarkan hampir 4,000 peserta belum dikesan dan diperiksa.

“Kementerian Kesihatan menggesa peserta tabligh yang belum diperiksa supaya tampil untuk menjalani ujian saringan oleh kementerian,” kata Hisham di catatan Facebooknya hari ini.

Kira-kira 16,000 jemaah, termasuk 1,500 warga asing dilaporkan menghadiri ijtimak tabligh itu yang dikaitkan dengan pelbagai kes di luar negara.

Seorang daripada 2 mangsa yang meninggal dunia Selasa lalu turut menyertai perhimpunan pada akhir bulan itu.