Mara beri tangguh bayaran balik pinjaman pelajaran, perniagaan

Diskaun khas sewaan premis perniagaan sebanyak 30% turut diberikan kepada semua usahawan yang beroperasi di semua premis Mara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi penangguhan kepada peminjam pelajaran dan perniagaan yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, peminjam pelajaran Mara akan diberi diberi penangguhan selama 3 bulan, dengan syarat peminjam tidak mempunyai tunggakan bayaran balik selama 3 bulan.

Jelas kenyataan tersebut, tawaran penangguhan itu turut meliputi peminjam yang mendapat kemudahan Pendahuluan Pinjaman Pelajaran.

Bagi usahawan yang menerima pembiayaan perniagaan Mara pula, penangguhan bayaran balik diberikan selama 6 bulan dengan syarat tidak mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada 2 bulan.

“Diskaun khas penyewaan premis perniagaan Mara sebanyak 30% turut diberikan kepada semua usahawan yang beroperasi di semua premis Mara.

“Insentif yang diberikan ini tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, serta terbukti menerima kesan secara langsung akibat wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.