Mercy Malaysia lancar Tabung Pandemik Covid-19

Mercy Malaysia berkata, golongan terpinggir tidak boleh diketepikan daripada rancangan pembendungan pandemik Covid-19 kerana ia berpotensi menjadi kawasan hotspot bagi virus itu merebak dengan pantas.

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia melancarkan Tabung Pandemik Covid-19 untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mengalami tekanan teruk berikutan penularan virus itu dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu, Amran Mahzan berkata, dana itu juga akan membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan keperluan asas golongan terpinggir.

“Kami telah mengukuhkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan, makan makanan yang sudah dimasak dan penggunaan penutup hidung dan mulut yang betul di klinik bergerak kami untuk pelarian dan pendatang sejak bulan lalu.

“Masyarakat terpinggir ini tidak boleh diketepikan daripada rancangan pembendungan pandemik kerana ia berpotensi menjadi kawasan hotspot bagi virus itu merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, untuk menyokong inisiatif Mercy Malaysia, sumbangan boleh dibuat melalui www.mercy.org.my atau terus kepada Mercy Humanitarian Fund (5621 7950 4126) atau Mercy Malaysia (CIMB 8000-7929-08). Semua derma dikecualikan cukai.

Perintah kawalan pergerakan diisytiharkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas. Semalam, Malaysia merekodkan 790 kes positif Covid-19 dengan 2 kematian pertama dicatatkan kelmarin 2 lelaki tempatan.