Peniaga, orang ramai di Kelantan mula patuh kawalan pergerakan, kata Nik Amar

Pada Selasa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

PETALING JAYA: Peniaga, termasuk di pasar tani dan pasar malam yang dilarang berniaga bagi menghalang penyebaran wabak Covid-19 mula mematuhi perintah kawalan yang diumumkan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun tidak secara keseluruhan, tahap kesedaran dalam kalangan peniaga menunjukkan peningkatan selepas 2 hari perintah itu berkuat kuasa.

“Setakat ini kebanyakan peniaga mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan walaupun tidak secara keseluruhan, tetapi jumlah mereka yang patuh semakin meningkat setiap hari.

“Keadaan di bandar-bandar juga, menunjukkan suasana lengang. Orang ramai mula sedar dan patuh kepada arahan, kawalan pergerakan,”katanya kepada FMT hari ini.

Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri memberi penjelasan kepada orang ramai tentang garis panduan seleras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Putrajaya.

“Dari segi penguatkuasaan, ia di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya

Isnin lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Selasa hingga 31 Mac di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Jelasnya, perintah itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.