Pihak berkuasa jejak 2,000 etnik Rohingya sertai himpunan tabligh

Lebih 2,000 etnik Rohingya dilaporkan menghadiri himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lepas. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa kini berusaha menjejaki kira-kira 2,000 lelaki Rohingya yang menghadiri perhimpunan jemaah tabligh yang menyebabkan peningkatan besar dalam kes koronavirus di seluruh Asia Tenggara, kata sumber kepada Reuters.

Lebih 100,000 etnik Rohingya menetap di Malaysia selepas diusir dari Myanmar, namun mereka masih dianggap pendatang tanpa izin.

Status pelarian membuatkan ramai antara mereka keberatan untuk menjalani ujian saringan koronavirus walaupun mereka menunjukkan gejala, kata sumber dalam komuniti Rohingya.

Usaha kerajaan mengesan mereka berdepan cabaran berikutan etnik itu tinggal tanpa dokumen sah dan menjauhkan diri daripada pihak berkuasa.

Perhimpunan jemaah tabligh di Masjlid Sri Petaling bulan lalu dihadiri kira-kira 16,000 orang, termasuk etnik Rohingya.

1,500 orang Islam dari seluruh Asia turut menghadiri himpunan itu.

Hampir 600 kes Covid-19 di Asia Tenggara dikaitkan dengan himpunan itu, termasuk 513 kes di Malaysia, 61 di Brunei, 22 di Kemboja, sekurang-kurangnya 5 di Singapura dan 2 di Thailand.

Setakat ini Malaysia mencatat 900 kes positif Covid-19.

Pihak berkuasa kini berusaha menjejak peserta himpunan, tetapi setakat ini masih gagal mengesan 4,000 yang hadir.

“Peserta ini datang dari seluruh negara, sukar untuk kami menjejaki mereka. Ramai yang takut untuk mengaku mereka hadir dalam himpunan itu, bimbang mereka berdepan masalah dengan pihak berkuasa.”

” Kerajaan bimbang jika mereka tidak tampil, wabak ini akan terus merebak.”

Dapatkan bantuan kesihatan

Kerajaan meminta Jabatan Siasatan Jenayah polis nmenjejak semua peserta terbabit, kata sumber keselamatan.

Polis enggan mengulas perkara itu dengan berkata, sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Majlis Keselamatan Nasional (MKN) yang berada di bawah seliaan Pejabat Perdana Menteri.

Malaysia kini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dan menutup premis perniagaan tidak perlu bermula semalam bagi tempoh 2 minggu dalam usaha membendung pandemik itu.

Ini selepas peningkatan mendadak kes Covid-19 susulan himpunan itu. Seorang peserta yang menghadiri himpunan berkenaan meninggal dunia, Selasa lalu.

Temubual Reuters dengan peserta dan hantaran di media sosial mendapati peserta menghabiskan sebahagian besar masa mereka berkumpul di masjid untuk acara 4 hari itu, dengan segelintir mereka pergi ke restoran, pusat beli-belah dan KLCC.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia memberitahu mereka mendapat maklumat ada pelarian dan pencari suaka menyertai himpunan itu dan kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua pelarian dan pencari suaka dimasukkan ke dalam usaha kerajaan mengekang wabak itu.

“Pelarian dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan jika mereka mengalami simptom jangkitan Covid-19, tanpa mengira sama ada mereka hadir pada majlis himpunan itu atau tidak,” kata UNHCR Malaysia dalam satu e-mel.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun tidak memberi sebarang reaksi berhubung perkara ini.

Seorang etnik Rohingya berusia 39 tahun yang menetap di Pulau Pinang memberitahu bahawa beliau menghabiskan masa di masjid itu bersama-sama 24 rakannya.

Katanya, tiada seorang pun di antara mereka menunjukkan sebarang simptom. beliau sudah pergi ke hospital, namun tiada sebarang ujian dilakukan.

” Semuanya dalam keadaan baik, saya tidak demam atau mengalami sebarang gejala jangkitan,” kata buruh binaan yang enggan dikenali itu.

Salman, buruh binaan warga Bangladesh yang tinggal berhampiran masjid itu berkata, beliau dan ramai lagi rakan senegaranya menghadiri himpunan itu.

Bagaimanapun ujian yang dijalani mendapati beliau tidak dijangkiti, namun pihak hospital menghubunginya setiap hari untuk memeriksa sama ada dia menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

“Ketika saya datang untuk menjalani ujian, mereka tak minta pasport, permit keja atau sebarang dokumen. Mereka hanya tanya nama, umur dan alamat saya,” katanya yang enggan dikenali.