Polis jejak 4,000 ahli tabligh belum jalani ujian kesihatan

Kerajaan minta ahli kumpulan tabligh yang menyertai suatu himpunan baru-baru ini dan belum jalani ujian kesihatan supaya tampil untuk saringan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur yang dikenalpasti sebagai sumber peningkatan kes Covid-19 kerana mereka belum tampil untuk saringan kesihatan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata pihak berkuasa bimbang mereka masih tidak dapat dikesan.

“Saya minta ahli kumpulan tabligh yang belum dikesan datang sendiri jalani ujian kesihatan, tanpa perlu dicari pihak polis,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di Perdana Putra hari ini.

Mengenai rakyat Malaysia yang berada di Sulawesi, Indonesia untuk menyertai suatu perhimpunan tabligh, Ismail berkata mereka perlu menjalani ujian kesihatan dan dikuarantin sebalik tiba di negara ini.

Mengenai nasib pekerja Malaysia di Singapura, Ismail berkata kedua-dua kerajaan sedang berbincang untuk membenarkan 300,000 rakyat terus bekerja di republik itu dengan syarat mereka disediakan tempat tinggal.

Sementara itu, semua kementerian diminta membuka talian hotline masing-masing bagi memudahkan proses memberi maklumat berkaitan Covid-19 ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

“Dakwaan mengatakan menteri berdiam diri tidak benar, setiap menteri memainkan peranan masing-masing khususnya melaporkan perkembangan di kementerian mereka ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan,” katanya.