Putrajaya benarkan industri perladangan teruskan operasi

Persatuan Minyak Sawit Malaysia berkata, kebenaran beroperasi boleh dibatalkan jika pihak industri tidak mematuhi semua garis panduan dan syarat ditetapkan untuk menangani Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kabinet memberi kelulusan kepada industri perladangan meneruskan operasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) berkata, kelulusan bersyarat itu memerlukan pihak industri memastikan langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan virus yang masih dalam keadaan membimbangkan.

“Semua garis panduan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa untuk menangani Covid-19 hendaklah dipatuhi, jika gagal, kebenaran itu boleh dibatalkan.

“Dalam konteks ini, kami merayu kepada anggota kami untuk memperkenalkan prosedur operasi standard bagi menangani isu tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.