Rakyat Indonesia di Sabah diberi kebenaran khas pulang hari ini, esok

Perkhidmatan feri Tawau-Nunukan digantung berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan semalam, sekali gus memerangkap ramai rakyat Indonesia di Sabah. (Gambar Bernama)

TAWAU: Konsul Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo menasihatkan rakyat Indonesia yang masih berada di Sabah agar mengambil peluang pulang ke Indonesia hari ini dan esok berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan sejak semalam.

Beliau berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan negeri Sabah untuk memberi kelonggaran agar rakyat Indonesia, yang terkandas di negeri ini susulan penguatkuasaan perintah itu, dibenarkan pulang mengguna perkhidmatan feri dari Tawau ke Nunukan.

“Mana-mana (rakyat Indonesia) yang tidak mengambil peluang ini (pulang ke Indonesia hari ini dan esok), mereka terpaksa tinggal (di Sabah) sehingga 31 Mac (perintah kawalan pergerakan tamat),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sulistijo Djati mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi tempoh 2 hari (hari ini dan esok) bagi membolehkan rakyat negara jiran itu untuk pulang.

Menurutnya, ramai rakyat Indonesia berada di Sabah untuk melawat keluarga atau membeIi-belah, khususnya di Tawau.

Katanya, lebih 100 rakyat Indonesia yang hendak pulang ke Indonesia semalam, yang merupakan hari pertama penguatkuasaan perintah itu, merasa kecewa apabila tiada perkhidmatan feri dari Tawau ke Nunukan.