Ringgit terus susut berbanding dolar AS

Ringgit dijangka terus susut berikutan harga minyak mentah global kekal di bawah AS$30 setong, selain faktor prestasi pasaran sedang pesat membangun.

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar AS sewaktu ditutup hari ini susulan tindakan pelabur beralih kepada unit negara maju itu berikutan kedudukannya sebagai mata wang paling cair atau banyak diperdagangkan di dunia.

Malah, dolar AS itu mendapat permintaan tinggi pada masa ini berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi akibat penularan Covid-19 yang terus menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit diniagakan pada paras 4.4080/4120 berbanding 4.3737/3844 sewaktu ditutup semalam.

Ringgit mencecah paras terendahnya sejak April 2017 dan dijangkakan terus susut berikutan harga minyak mentah global kekal di bawah AS$30 setong selain faktor prestasi pasaran sedang pesat membangun yang kekal diasak tekanan akibat kemerosotan permintaan.

“Kita dapat melihat pelabur kekal menyimpan mata wang dolar AS. Malah, apa yang lebih menyukarkan untuk ringgit adalah prestasi harga minyak mentah terus rendah dan eksport akan mencatat penyusutan ketara pada separuh pertama yang boleh menjejaskan pendapatan negara melebihi 25%,” katanya.

Setakat petang ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras mencecah harga AS$27.99 setong.

Kalangan penganalisis pula berpendapat, situasi getir untuk pasaran minyak akan berlaku ketika ia berdepan impak lebih besar pada April.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0425/0470 daripada 3.0446/0664 sewaktu ditutup pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.0848/0923 daripada 5.2514/2570 serta meningkat berbanding euro kepada 4.7759/7822 daripada 4.7938/8081, semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0457/0574 daripada 4.0759/0898 semalam.