Tambahan RM160 juta untuk lawan gelombang kedua Covid-19

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk disalurkan kepada 26 hospital bagi menangani gelombang kedua wabak COVID-19.

Sambil merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada doktor, jururawat, pegawai kesihatan dan semua pihak di KKM, yang bertungkus lumus tanpa henti selama sebulan setengah, Muhyiddin berkata peruntukan itu boleh digunakan bagi pembelian aset perubatan dan aset bukan perubatan.

“Untuk membantu KKM melaksanakan program bagi menangani COVID-19 di seluruh negara, kita meluluskan lebih daripada RM259 juta untuk digunakan membeli ubat-ubatan, peralatan dan pelbagai lagi yang diperlukan.

“Ada lagi permohonan RM160 juta yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan. Saya akan beritahu Menteri Kewangan, supaya kita dapat luluskan dengan seberapa segera, kerana ini suatu krisis yang agak serius dan tak boleh kita lengah-lengahkan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas taklimat mengenai usaha menangani kes Covid-19 di Johor oleh Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu di Hospital Permai.

Beliau menghargai sumbangan semua pihak di KKM dan percaya seluruh rakyat juga terhutang budi terhadap apa yang diusahakan oleh para doktor mahupun jururawat, pegawai perubatan dan tenaga di peringkat KKM,yang membantu dalam menangani Covid-19.

“Kita harap semangat mereka masih kukuh lagi,” katanya lagi.

Menurut perdana menteri, cara KKM membeli peralatan juga tidak mengikut cara biasa sebelum ini, iaitu menerusi tender tetapi dengan segera, supaya keperluan-keperluan hospital dan tempat di mana kes-kes wabak itu dirawat dapat digunakan dengan seberapa segera.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin mengingatkan masyarakat negara masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula semalam dan dijangka berakhir 31 Mac ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan sudah pun bermula dan nasihat masih lagi saya berikan, supaya tidak ada perhimpunan, sekolah ditutup, tinggal di rumah, jangan pergi ke mana-mana, sehingga keadaan sudah bertambah baik.

“Kita tetapkan tempoh 14 hari ini harus diberikan perhatian yang serius, kerana wabak ini masih menular. Kita tidak mahu sesiapapun menjadi mangsa kepada virus yang amat berbahaya, jadi seeloknya duduk di rumah,” kata Muhyiddin.

Meskipun terpaksa keluar untuk tujuan tertentu seperti membeli keperluan asas di pasar awam dan pasaraya atau membeli ubat-ubatan, masyarakat diminta supaya mengehadkan waktu di luar selain mengamalkan penjarakkan.

Untuk mereka yang terpaksa bekerja di kilang-kilang dalam sektor yang dibenarkan beroperasi, mereka juga tertakluk dengan tatacara operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kita tidak mahu ambil mudah. Kita berikan kerjasama sepenuhnya supaya dapat mengelakkan wabak ini daripada menular.

“Baru 3 hari, kita lihat masih meningkat, tetapi kalau kita betul ikut arahan seperti yang telah ditetapkan, tidak keluar ke mana-mana, kita harap ia akan reda dan boleh menurun.

“Itu sebab tempoh 2 minggu ini ujian paling kritikal bagi seluruh rakyat, tetapi kalau kita patuh dengan arahan mungkin macam negara China, 2 bulan (negara) itu dapat kawal, padahal puncanya di situ,” kata Muhyiddin.