Tanpa upah kerja harian, hidup komuniti pelarian, migran terhimpit

Pekerja migran dan pelarian takut keluar bekerja berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan Covid-19 bermula semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sukarelawan yang bekerja dengan komuniti pelarian dan migran di Lembah Klang menyuarakan kebimbangan berhubung kemampuan kelompok itu meneruskan kehidupan dalam tempoh 2 minggu perintah kawalan pergerakan (MCO) bagi menghentikan penularan wabak Covid-19.

Hasnah Hussein, sukarelawan penggerak komuniti dengan Tenaganita berkata, ramai pekerja migran dan pelarian Chin, Kachin dan Rohingya yang ditanganinnya merupakan pekerja sambilan dengan upah harian.

Kerja mereka termasuklah kerja-kerja am di pasar Selayang dan restoran serta sebagai pekerja kebersihan.

“Kesan ke atas mereka besar. Susulan MCO, mereka tidak boleh keluar bekerja, dan berasa lebih takut apabila pihak berkuasa memberi amaran untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang melanggar perintah itu,” katanya.

Katanya, kumpulan yang bekerja di tapak pembinaan kurang berdepan risiko kerana mereka tinggal di rumah kongsi di tapak di mana aksesnya terhad. Justeru mereka boleh terus bekerja.

Hasnah berkata, pada masa ini, komuniti migran yang ditanganinya, berjumlah kira-kira 1,000 orang, dan saling membantu berkongsi makanan yang mereka ada.

“Sebilangan NGO mengutip dana bagi menyumbang makanan kepada komuniti pelarian ini. Cabarannya ialah untuk mendapatkan jumlah sumbangan yang mencukupi.

“Setakat ini, sejauh yang kami tahu, tiada makanan yang disalurkan dan keperluannya sangat mendesak kerana sangat sedikit dalam kalangan pelarian dan migran ini mempunyai wang simpanan.

“Hidup mereka sekadar ‘kasi pagi makan pagi, kasi petang makan petang’.”

Hasnah berkata, beliau bimbang bahawa tanpa upah harian, migran dan pelarian ini hanya mampu hidup untuk tempoh 5 hari sahaja.

“Perkara baiknya, katanya, kebanyakan mereka amat sedar tentang Covid-19.

“Berikutan penguatkuasaan MCO, kami edar risalah yang diterjemahkan ke dalam bahasa mereka. Kami juga siarkannya di media sosial. Mereka tahu simptomnya,” katanya.

Katanya, mereka dimaklumkan bahawa pihak berkuasa tidak mengenakan bayaran ke atas orang asing yang mendapatkan rawatan perubatan semasa MCO dan mereka juga tidak akan ditahan.

Hasnah berkata, mereka juga tidak mempunyai akses kepada penutup hidung dan mulut serta pensanitasi. Bagaimanapun kebimbangan lebih utama sekarang ialah kelangsungan hidup mereka.

Seorang lagi sukarelawan penggerak komuniti, Nasrikah, yang bekerja dengan komuniti Indonesia berkata, beliau juga bimbangkan keadaan pekerja upah harian, yang sesetengahnya terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan dan majikan.

Katanya, dalam sesetengah sektor seperti pembuatan, sebilangan pekerja diberikan cuti bergaji 2 minggu.

“Tetapi bagi pekerja domestik, mereka tidak dapat kerja lebih masa. Oleh sebab mereka tinggal di rumah majikan sepanjang hari, mereka mungkin tidak mendapat masa rehat,” katanya.

Nasrikah berkata, beliau memberitahu anggota komuniti itu supaya menghubungi mereka jika memerlukan makanan atau pertolongan.

“Kita ada pensanitasi dan penutup hidung dan mulut, tetapi sukar untuk mengedarkannya sekarang susulan MCO,” katanya.

Beliau berkata, satu masalah yang dihadapi sekarang ialah pekerja asing tanpa dokumen takut untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang ditangkap oleh badan penguat kuasa.

“Kami beritahu mereka supaya tidak takut, dan akan berusaha membantu. Saya bimbang mereka keberatan untuk mendapatkan pertolongan sekiranya berasa tidak sihat.”

Dalam pada itu, pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Periera berkata, beliau berharap kerajaan melaksanakan moratorium ke atas operasi imigresen sehingga ancaman Covid-19 tamat.

“Pada masa ini, pihak berkuasa perlu memberi jaminan kepada pekerja asing dan pelarian bahawa mereka selamat jika mahu mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Periera juga berkata, kerajaan perlu memantau pematuhan MCO dan undang-undang buruh oleh majikan, terutama yang melibatkan isu seperti gaji dan upah.