UNHCR nafi dakwaan pelarian enggan jalani ujian saringan Covid-19

Mesej palsu menimbulkan ketakutan dan rasa sangsi terhadap pelarian, menghalang mereka mendapatkan bantuan pada saat mereka memerlukannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menafikan dakwaan terdapat pelarian enggan menjalani ujian saringan Covid-19.

UNHCR menasihatkan orang ramai teks pesanan yang tersebar di WhatsApp itu palsu, dan bukan daripadanya.

“Mesej itu menimbulkan ketakutan yang tidak wajar dan rasa sangsi terhadap pelarian,” katanya, sambil menambah ia menyebabkan golongan itu lebih terpinggir daripada masyarakat.

“Ia menghalang mereka mendapatkan bantuan pada saat mereka memerlukannya,” katanya.

UNCHR menyeru semua pihak supaya mengambil sikap bertanggungjawab dan bersolidariti dengan golongan yang lemah pada masa mencabar ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan Isnin lalu yang bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Ia bertujuan mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 yang kini memasuki gelombang kedua.

UNHCR berkata dalam beberapa minggu mutakhir ini pihaknya bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam memastikan komuniti pelarian terlibat dalam langkah-langkah kerajaan.