40 juta warga California diarah duduk dalam rumah

(Gambar AP)

LOS ANGELES: 40 juta penduduk California pada Khamis diarah duduk di rumah bagi tempoh masa yang tidak pasti dalam usaha memerangi pandemik koronavirus di negeri yang paling ramai penduduk di Amerika Syarikat (AS) itu.

Arahan seluruh negeri itu, yang berkuatkuasa serta-merta kata Gabenor Gavin Newsom, tindakan paling dramatik oleh kerajaan negeri AS.

“Tiada tarikh akhir ditetapkan kerana pandemik kini dalam ‘keadaan dinamik’,” katanya.

California antara negeri tertinggi kes Covid-19 dengan 18 kematian direkodkan setakat ini, menurut kenyataan Universiti Johns Hopkins.

Kira-kira 1,000 penduduk didapati positif.

Walaupun ia perintah eksekutif mandatori, langkah itu mungkin tidak akan dikuatkuasakan polis, kata Newsom.

“Saya fikir orang ramai akan mengawal tingkah laku,” katanya.

Perkhidmatan asas dan tugas seperti membeli-belah barangan runcit akan dikecualikan, katanya.

“Kami mahu orang ramai uruskan keperluan mereka secara berhemah dan bijaksana.”

Stesen minyak, farmasi, bank dan perkhidmatan dobi disenarai sebagai “prasarana penting” dan dibenarkan terus beroperasi.

Restoran masih dibenarkan menyediakan perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran makanan, sementara bank makanan kekal beroperasi.

Dalam surat kepada Presiden Donald Trump Rabu lalu meminta bantuan persekutuan, Newsom memberi amaran penularan 2 kali ganda kes setiap 4 hari di beberapa daerah di negeri itu.

“Kira-kira 56% daripada 25.5 juta penduduk dijangka dijangkiti virus dalam tempoh 8 minggu,” katanya.

Perintah duduk di rumah itu bertujuan mengurangkan angka itu, kata Newsom.

“Tujuannya untuk menurunkan bilangan. Ini bermakna unjuran itu tidak akan menjadi realiti kerana kita sudah mengubah tingkah laku.”

Menurut unjuran itu, California akan mengalami kekurangan 10,000 katil hospital, kata Newsom.

Di samping perintah pengasingan, asrama universiti, hotel dan motel disewakan untuk menyediakan lebih banyak ruang.

Pengumuman Newsom selepas Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti mengeluarkan perintah sama di bandar terbesar di negeri itu.

Perintah itu melarang perhimpunan di ruang tertutup melibatkan lebih daripada 10 orang.

Beberapa daerah di Bay Area, termasuk San Francisco mengenakan langkah duduk di rumah pada awal minggu ini.

Newsom pada Khamis menulis surat kepada Kongres meminta “lebih dari AS$1 bilion pembiayaan awal” untuk California bagi menangani pandemik.

“Jika kita dikritik pada masa ini, biarlah kita dikritik kerana memandang serius perkara ini,” kata Newsom.

“Sudah tiba masanya untuk kita sedar, sebagai individu dan masyarakat, yang lebih banyak lagi perlu dilakukan.”