Agong ajak rakyat patuh perintah kawalan pergerakan, sekat wabak Covid-19

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga menasihati ibu-bapa pengantin supaya menangguhkan majlis kenduri sehingga keadaan wabak Covid-19 beransur pulih.

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengajak rakyat supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Sultan Abdullah juga menyarankan rakyat tidak keluar rumah jika tidak ada keperluan penting.

“Saya juga meminta batalkan hasrat untuk balik kampung.

“Jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah,” katanya dalam satu pengumuman berhubung Covid-19 yang disiarkan di Bernama.

Dalam pada Sultan Abdullah juga menasihati ibu bapa pengantin supaya menangguhkan majlis kenduri sehingga keadaan beransur pulih.

Beliau menasihatkan rakyat jangan panik kerana bekalan barang keperluan dijamin cukup oleh kerajaan.

“Rakyat juga jangan suka menyebar berita palsu.

“Paling penting jaga kebersihan diri, kerap basuh tangan, guna ‘hand sanitizer’ dan pakai topeng serta amalkan penjarakan sosial.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wabak ini,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu bermula 18 Mac bagi menyekat penularan wabak tersebut.

130 kes baru Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di seluruh negara mencecah angka 1,030.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 12 pesakit sembuh sepenuhnya hari ini menjadikan 87 kes sembuh setakat kini.