Ahli ekonomi sambut baik pakej rangsangan Sabah, ingatkan elak bertindih

Orang ramai di pasar Gaya Street, Kota Kinabalu. Ahli ekonomi berkata matlamat pakej rangsangan adalah menggalakkan rakyat berbelanja.

KOTA KINABALU: Pakar ekonomi menyambut baik rancangan kerajaan negeri menyediakan pakej rangsangan ekonomi tersendiri bagi mengurangkan impak krisis Covid-19, tetapi mbantuan itu mesti disuntik ke bidang-bidang utama bagi memastikan ia berkesan.

Firdausi Suffian dari Universiti Teknologi Mara Sabah dan Rafiq Idris dari Universiti Malaysia Sabah berkata program kerajaan negeri mesti melengkapi pakej ekonomi RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lalu.

Firdausi, seorang ahli ekonomi politik, berkata idea sebalik pakej rangsangan bagi memastikan rakyat boleh terus berbelanja walaupun krisis berlaku seperti yang disebabkan pandemik.

“Apabila mengalami krisis, yang penting adalah memastikan ekonomi terus berjalan dan memastikan perbelanjaan masih berlaku. Walaupun kerajaan membantu (menerusi pakej rangsangan), jika orang ramai tidak berbelanja, tidak ada gunanya.

“Perbelanjaan domestik amat penting ketika ini kerana kita tidak boleh bergantung kepada perbelanjaan asing dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.

Ketua Menteri Shafie Apdal pada awal bulan ini mengumumkan Sabah akan mengumumkan pakej rangsangan tersendiri pada April bagi mengurangkan kesan Covid-19 dan perang perdagangan AS-China.

Shafie berkata, kerajaan memerlukan pakej sendiri di samping inisiatif kerajaan persekutuan.

Rafiq berkata ia boleh difahami jika pakej ekonomi negeri kecil memandangkan kekangan kewangan, sambil menambah sumber kerajaan negeri terhad berbanding kerajaan persekutuan.

“Jika Sabah merancang untuk melakukan campurtangan fiskal pada masa sukar ini, usaha itu harus ditumpukan pada bidang-bidang yang mana ia boleh meringankan beban individu, isi rumah atau syarikat.

“Usaha meringankan pengurusan aliran tunai akan membantu mereka. Sebagai contoh, pekerja atau syarikat yang terkesan dengan wabak Covid-19 mungkin diberi bantuan atau insentif,” katanya.

Firdausi berkata, Sabah patut tumpu pada sektor-sektor utama seperti pelancongan dan pertanian sambil membantu golongan B40.

Sebagai contoh, katanya, perusahaan kecil dan sederhana di sektor pelancongan seperti syarikat pelancongan atau penganjuran acara boleh mendapatkan geran daripada kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyediakan pinjaman tambahan pada kadar faedah rendah kepada perniagaan berkaitan pelancongan, katanya, sambil menambah kerajaan persekutuan memperkenalkan mekanisme pengecualian cukai untuk perniagaan.

“Sabah boleh memainkan peranan besar dalam membekalkan makanan dan bahan mentah melalui sektor pertanian, yang penting bagi kerajaan negeri, bukan sahaja di Sabah tetapi seluruh negara.

“Jadi, dana amat diperlukan di bidang itu kerana ekonomi tidak akan pulih segera,” kata Firdausi.

Beliau menambah usaha sedemikian sejajar rangka tindakan pembangunan pertanian sabah.

Untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi, katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan skim diskaun istimewa untuk kumpulan berpendapatan rendah bagi pembelian keperluan harian, dan juga menyediakan subsidi pengangkutan.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Dalam pakej persekutuan, mereka beri wang tunai kepada pihak tertentu seperti pemandu teksi dan pemandu pelancong – di Sabah, kita boleh melaksanakan lebih daripada itu.

“Sebagai contoh, kita boleh bantu golongan petani terutama di pedalaman supaya mereka mempunyai makanan mencukupi dan pada masa sama boleh terus bekerja di ladang masing-masing dengan bantuan kerajaan.”

Firdausi dan Rafiq berkata, kerajaan mesti bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk mengelakkan pertindihan.

Sekiranya semuanya dirancang baik antara kedua-dua kerajaan, Rafiq berkata, impak yang dirasai oleh rakyat akan lebih besar.