Anggota tabligh ditahan di sekatan jalan dihantar jalani ujian Covid-19

Dalam insiden jam 6.30 petang hari ini di Jalan Sultan Azlan Shah dekat Sungai Tiram polis menahan sebuah kereta Proton Waja dinaiki seorang lelaki berusia 55 tahun bersama-sama isteri dan 2 lelaki lain. (Gambar PDRM)

GEORGE TOWN: Polis hari ini menahan sebuah kereta dinaiki seorang lelaki yang menghadiri himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, bersama 3 yang lain dalam perjalanan ke bandar dengan alasan untuk “pergi ke hospital”.

Dalam insiden jam 6.30 petang itu, polis yang mengawal sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah dekat Sungai Tiram di sini menahan sebuah kereta Proton Waja dinaiki lelaki berusia 55 tahun itu bersama-sama isteri dan 2 lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Barat Daya A Anbalagan berkata, pemandu kereta berkenaan memberitahu bahawa mereka dalam perjalanan dari Balik Pulau ke George Town dengan alasan hendak pergi ke hospital kerajaan.

Anbalagan berkata, beliau sendiri kemudiannya mengiring kereta Proton itu dengan 2 kereta peronda polis ke klinik kesihatan Bayan Baru bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, berlaku kontak antara seorang anggota polis dengan pemandu kereta Proton itu yang kelihatan cuba melarikan diri selepas mengemukakan dokumen pengenalan dirinya.

“Kami percaya, 3 individu lain berusia antara 27 ke 56 tahun dalam kereta itu juga merupakan anggota jemaah tabligh. Mereka kini di bawah pengawasan pegawai kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 10,553 anggota jemaah tabligh yang menghadiri himpunan tersebut telah dikesan dan diperiksa oleh Kementerian Kesihatan, dengan 6,627 diletakkan di bawah kuarantin serta pengawasan di rumah bermula 18 Mac lepas.

Sabah mencatatkan jumlah paling ramai positif Covid-19 daripada kluster Masjid Sri Petaling dengan 91 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dengan 75 kes.

Sampel daripada 4,986 individu diambil dengan 513 disahkan positif dan 2,559 negatif Covid-19. Dianggarkan kira-kira 4,000 peserta himpunan itu gagal dikesan dan disaring setakat ini.