Britain rayu 65,000 bekas petugas kesihatan bantu usaha perangi Covid-19

Majlis Perubatan Am Britain juga akan menulis kepada 15,500 doktor yang sudah tidak berkhidmat sejak 2017 bagi membantu usaha negara itu menangani wabak Covid-19. (Gambar AP)

LONDON: Britain merayu bekas jururawat dan doktor untuk kembali bekerja, selain akan menggunakan khidmat pelajar perubatan tahun akhir untuk menangani krisis kesihatan koronavirus, kata Kementerian Kesihatan negara itu.

Selepas wabak koronavirus menyerang seluruh dunia, kerajaan, syarikat dan pelabur berdepan krisis kesihatan awam terburuk sejak pandemik influenza pada 1918.

Pelajar perubatan tahun akhir dan jururawat pelajar juga ditawarkan peluang berkhidmat bagi meningkatkan peranan barisan hadapan petugas kesihatan perkhidmatan kesihatan kebangsaan (NHS).

“Kami tidak boleh melakukannya sendiri, saya menggesa semua bekas jururawat membantu kami mengekang pandemik ini. Saya yakin kepakaran dan pengalaman mereka mampu menyelamatkan nyawa,” kata ketua pegawai jururawat England, Ruth May.

Majlis Jururawat dan Perbidanan sedang menulis kepada lebih 50,000 jururawat yang sudah tidak membaharui epndaftaran sejak 3 tahun lalu.

Majlis Perubatan Am juga akan menulis kepada 15,500 doktor yang sudah tidak berkhidmat sejak 2017.

Perkhidmatan kesihatan Britain menyediakan 30,000 katil dengan menangguhkan pembedahan tidak mendesak dan menyediakan penjagaan dalam komuniti kepada pesakit yang dibenarkan keluar, dan menyediakan sehingga 10,000 katil di hospital komuniti bagi mengekang virus itu, kata perkhidmatan kesihatan.