Covid-19: KBS umum 7 inisiatif ringan beban belia

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata, KBS menyediakan peruntukan RM100,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia bagi membantu bekas atlet dalam tempoh kuat kuasa perintah kawalan pergerakan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelaksanaan 7 inisiatif bagi meringankan beban golongan belia yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (MCO) yang bermula Rabu hingga 31 Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican berkata, menerusi inisiatif tersebut pembayaran elaun kepada 10,000 pelajar di 22 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) akan dipercepatkan kepada selewat-lewatnya Rabu depan.

Katanya, pihaknya juga akan menyediakan insentif data internet secara sekali bayar berjumlah RM50 kepada pelajar ILKBS bagi menyokong pembelajaran secara digital ‘Google Classroom’ yang diusahakan sepanjang MCO.

“Peruntukan sebanyak RM100,000 disalurkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam membantu Orang Kurang Upaya (OKU) , gelandangan belia yang terkesan dan memerlukan di bawah program Relawan MBM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia bagi menyokong dan membantu bekas atlet yang memerlukan dalam tempoh kawalan pergerakan tersebut.

Reezal Merican berkata, KBS juga akan memberi pengecualian bayaran sewa premis di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara di seluruh negara selama 6 bulan.

Tambahnya, semua pekerja sambilan harian di kementerian itu akan diberi pembayaran penuh sepanjang tempoh MCO dan pelajar praktikal yang menjalani latihan industri akan menikmati pembayaran penuh elaun praktikal bagi bulan Mac.

Katanya, KBS menyediakan kemudahan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Cheras, di sini, untuk menempatkan 41 peserta program MyCorps yang baru tiba dari Bangladesh hari ini dan Nepal pada esok bagi tujuan kuarantin, sehingga dibenarkan pulang oleh pihak berkuasa

KBS juga menawarkan kemudahan atau fasiliti di bawah seliaan KBS untuk digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan atau mana-mana agensi yang berkaitan bagi tujuan menangani penularan wabak Covid-19, katanya.